Elak kesimpulan dari video singkat, Saifuddin ulas tular polis pijak kepala

Elak kesimpulan dari video singkat, Saifuddin ulas tular polis pijak kepala

Menteri berkata siasatan menyeluruh termasuk aspek SOP sedang dijalankan.

saifuddin nasution
Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan semberono tanpa siasatan menyeluruh boleh jejas semangat anggota. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Siasatan menyeluruh sedang dibuat berhubung video tular memaparkan anggota polis dipercayai memijak kepala seorang lelaki ketika tangkapan di Kulim, Kedah, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, kesimpulan tidak boleh dibuat hanya berdasarkan rakaman video singkat yang ditularkan kerana ia mungkin tidak menggambarkan keseluruhan kejadian.

“Jika kita bertindak semberono, ia boleh menjejaskan semangat anggota yang berdepan suspek yang kadangkala agresif.

“Apa yang dilihat mungkin hanya beberapa saat, tetapi apa yang berlaku sebelum itu perlu diambil kira,” katanya pada sidang media sambil menjelaskan siasatan turut meliputi aspek prosedur operasi standard (SOP).

Semalam, Timbalan Ketua Polis Kulim Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng mengesahkan video berdurasi 29 saat itu berkaitan operasi ronda cegah jenayah di Jalan Tunku Putra.

Rakaman itu menunjukkan seorang suspek ditarik daripada motosikal sehingga terjatuh sebelum kepalanya dipijak oleh anggota terbabit.

Faisal dipetik berkata kejadian berlaku ketika anggota cuba menahan suspek, namun lelaki itu bertindak melawan, termasuk menendang motosikal polis dan melarikan diri dengan menunggang secara melulu serta melawan arus.

Suspek dikesan di hadapan sebuah kedai aksesori motosikal di Jalan Tunku Putra sebelum ditahan.

Anggota terbabit juga dipindahkan ke bahagian pentadbiran sementara menunggu siasatan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.