Pasangan beraksi tak senonoh di jirat dibebaskan

Pasangan beraksi tak senonoh di jirat dibebaskan

Pasangan itu menjalani hukuman penjara selama 28 hari sejak ditahan 23 Mac lalu.

couple project jirat cina
Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman penjara M Jegathesan dan Halila Abu Bakar daripada 12 bulan kepada 28 hari.
PETALING JAYA:
Pasangan yang dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan atas kesalahan melakukan kelucahan melampau di tanah perkuburan Pulau Pinang bulan lalu, dibebaskan hari ini selepas Mahkamah Tinggi George Town mengurangkan hukuman mereka.

Hakim Rofiah Mohamad mengekalkan sabitan bersalah M Jegathesan, 58, dan Halila Abu Bakar, 37, tetapi memerintahkan hukuman penjara mereka bermula dari tarikh tangkapan 23 Mac lalu hingga hari ini, sekali gus mengurangkan hukuman penjara kepada 28 hari.

“Sabitan dikekalkan…(tetapi) hukuman penjara 12 bulan digantikan dengan hukuman pemenjaraan dari tarikh tangkapan sehingga hari ini,” katanya menurut New Straits Times.

Pasangan itu mengaku bersalah di Mahkamah Majistret George Town atas kesalahan melakukan kelucahan melampau di tanah perkuburan Cina di Batu Gantong pada 22 Mac lalu, di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun.

Peguam Naran Singh memohon semakan semula hukuman itu atas alasan ia berlebihan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muna Jaafar, berkata pihak pendakwaan menerima surat representasi pembelaan yang mencadangkan sabitan dikekalkan, tetapi hukuman dikurangkan.

Naran berkata, beliau berpuas hati dengan keputusan itu.

“Saya sangat gembira dengan semakan ini. Hukuman telah dikurangkan daripada 12 bulan kepada 28 hari, iaitu tempoh minimum.

“Kami tidak mencabar sabitan itu. Ia kekal, tetapi hukuman telah diketepikan kerana ia berlebihan untuk kes ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.