Sabah terima peralihan kuasa urus alam sekitar bawah MA63 November ini

Sabah terima peralihan kuasa urus alam sekitar bawah MA63 November ini

Yang Dipertua Negeri Musa Aman berkata ia akan dimulakan dengan pengurusan buangan terjadual yang disokong usaha gubal undang-undang serta garis panduan baharu.

MUSA AMAN GAMBAR TERPALING BAIK AND MAKE SENSE
Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman berkata kerajaan negeri akan terus perhebat usaha pemuliharaan dan perlindungan hutan, pemerkasaan tadbir urus hutan dan iklim serta pembangunan komuniti dan inovasi hijau. (Gambar fail)
KOTA KINABALU:
Sabah bakal menerima peralihan kuasa berkaitan pengurusan alam sekitar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadual dilaksanakan sepenuhnya November ini, kata Yang Dipertua Negeri, Musa Aman.

Beliau berkata, ia akan dimulakan dengan pengurusan buangan terjadual dan langkah itu akan disokong usaha penggubalan undang-undang serta garis panduan baharu.

“Selain itu, pembangunan sistem pengurusan berasaskan web serta program peningkatan kompetensi teknikal pegawai dan pihak industri,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar kerajaan negeri pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 di sini.

Turut hadir Ketua Menteri, Hajiji Noor dan Speaker DUN Sabah, Kadzim M Yahya.

Musa berkata, daripada konteks tadbir urus karbon, kerajaan negeri berhasrat menjadi peneraju pelaksanaan Artikel 6 Perjanjian Paris di Malaysia dengan memanfaatkan peluang pasaran karbon sukarela sebagai sumber pembiayaan baharu bagi menyokong usaha pemuliharaan hutan dan alam sekitar.

Dalam aspek tadbir urus tanah dan hartanah, katanya, kerajaan negeri akan membentangkan Rang Undang-undang Pindaan ke atas Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 1972 pada tahun ini.

Menurutnya, ia membabitkan penggubalan dua enakmen baharu, iaitu Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 1972 dan Enakmen Pengurusan Bangunan bagi meningkatkan kecekapan dalam proses pengeluaran hak milik subsidiari serta pengurusan dan penyelenggaraan bangunan di Sabah.

Selain itu, pendekatan Pemulihan Landskap Hutan (FLR) juga akan dilaksanakan meliputi kawasan tanah pertanian, hutan pengeluaran dan kawasan komuniti untuk memulihkan fungsi ekologi, meningkatkan kesejahteraan sosial serta ekonomi komuniti setempat.

Jelasnya, melalui Rancangan Malaysia Ke-13, kerajaan negeri akan terus memperhebatkan usaha pemuliharaan dan perlindungan hutan, pemerkasaan tadbir urus hutan dan iklim serta pembangunan komuniti dan inovasi hijau.

“Antara inisiatif dilaksanakan termasuk pelaksanaan Langkah Pemuliharaan Berasaskan Kawasan Lain yang Berkesan (OECM) bagi menyokong sasaran Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), pelaksanaan Sistem Jaminan Kesahan Kayu Sabah (TLAS) serta penggunaan teknologi satelit dan sistem pemerhatian bumi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.