
Baginda bertitah jawatan yang diberikan datang bersama amanah dan tanggungjawab besar, justeru setiap tindakan tidak boleh dibuat secara terburu-buru.
“Segala keputusan perlu dibuat selepas meneliti semua fakta dan maklumat berkaitan,” titah baginda ketika merasmikan sidang pertama penggal keempat DUN Negeri Sembilan ke-15.
Tuanku Muhriz turut menegaskan keputusan tidak boleh dipengaruhi emosi atau kepentingan diri, sebaliknya mesti mengikut garis panduan dan undang-undang sedia ada.
Menurut baginda, kegagalan mematuhi prinsip itu boleh menjejaskan integriti pentadbiran serta kesejahteraan negeri.
Dalam masa sama, baginda menyeru warga maya supaya lebih bertanggungjawab ketika memberi komen atau berkongsi maklumat di media sosial.
“Jangan mudah percaya atau sebarkan berita tanpa semakan dan pengesahan,” titah baginda.
Baginda berkata penyebaran maklumat tanpa tanggungjawab boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negeri.
Tuanku Muhriz turut mengingatkan Adun negeri itu supaya mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
“Peraturan tetap Dewan juga hendaklah sentiasa dipatuhi semasa berhujah dan sepanjang persidangan berlangsung.
“Berpeganglah kepada prinsip mendahulukan kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan,” katanya.