
Ketua Penerangan Zahid Ibrahim berkata tiada wakil rakyat PAS akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Abu Bakar Hamzah, susulan sidang DUN yang ditangguhkan.
“PAS Perlis kekal bersama serta terus menyokong kerajaan PN Perlis sehingga tamat tempoh pentadbiran semasa,” menurut kenyataan.

Sidang DUN Perlis dijadualkan bersidang pada 21-23 Apr. Setiausaha DUN, Anwar Sahul Hameed, mengumumkan penangguhan sidang DUN pada 17 Apr lalu, tanpa tanpa tarikh baharu.
Keesokannya, enam Adun PAS termasuk bekas menteri besar, Shukri Ramli, menuntut Menteri Besar Abu Bakar Hamzah menjelaskan penangguhan itu, menyifatkan ia sebagai ‘luar biasa’.
Pada 19 Apr, Abu Bakar menjelaskan sidang DUN ditangguh bagi membolehkan kerajaan negeri menyusun semula gerak kerja agar pentadbiran negeri berjalan lebih sempurna, dan tarikh baharu akan diumumkan selepas persiapan selesai.
Pada 21 Apr, Pengerusi PN Perlis Shahidan Kassim berkata tidak ada pakatan undi tidak percaya terhadap Abu Bakar, mengingatkan bahawa PAS Pusat sudah buat keputusan untuk menyokong kerajaan negeri sehingga pilihan raya.
Hari ini, Zahid berkata mesyuarat pimpinan PAS negeri secara konsensus bersetuju dengan kenyataan Shahidan itu mengenai sokongan kepada kerajaan negeri.