
Puad menepis penyertaan Pemuda DAP dan PAS pada perhimpunan berkaitan Azam di Dataran Merdeka esok sebagai ‘wayang politik’.
“DAP tidak perlu menunggu Julai untuk meletak jawatan menteri. Jangan terlalu selektif memilih alasan untuk meletak jawatan. Letak jawatan sekarang kalau ‘gentleman’,” katanya di Facebook.
DAP akan mengadakan kongres nasional pada 12 Julai ini, yang mana perwakilan akan memutuskan sama ada pemimpin mereka perlu melepaskan jawatan dalam kerajaan. Parti itu bagaimanapun akan terus menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim di Parlimen.
Sejurus kekalahan teruk pada PRN Sabah, DAP berkata ia akan bekerjasama dengan perdana menteri untuk mempercepatkan reformasi dalam tempoh enam bulan.
Puad menyoal apakah menteri DAP hanya akan meletak jawatan jika bekas perdana menteri Najib Razak dibenarkan menjalani hukuman tahanan di rumah, lalu mendakwa itu adalah hipokrasi.
Menurutnya, DAP tidak membantah apabila kontrak Azam disambung antara tahun 2023 hingga 2025. “Apa reformasi yang mereka buat?”
Puad percaya DAP dan PAS akan menganjurkan perhimpunan sendiri jika mereka serius.
“Penyertaan mereka adalah wayang politik untuk mengelak imej parti masing-masing terus tercalar,” katanya.
Penunjuk perasaan akan mula berkumpul di Sogo di Kuala Lumpur pada jam 3 petang, dan kemudian berarak ke Dataran Merdeka.
Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh NGO tetapi akan disertai oleh Rafizi Ramli daripada PKR, serta Pemuda DAP, PAS, dan MCA, antara lain.