Dana pembangunan P Pinang meningkat 60%, kata PM

Dana pembangunan P Pinang meningkat 60%, kata PM

Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak pinggir negeri lain sebaliknya terus tingkat peruntukan di seluruh negara selaras pertumbuhan hasil kerajaan.

projek laluan lrt
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata antara projek utama dilaksanakan di Pulau Pinang ialah projek Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD). (Gambar John Shen Lee)
BATU KAWAN:
Peruntukan pembangunan untuk Pulau Pinang meningkat 60% tahun ini kepada RM7.8 bilion, berbanding kurang RM5 bilion pada 2022, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, peruntukan kepada negeri ini telah ditingkatkan secara konsisten sejak 2023 iaitu RM5.7 bilion, diikuti RM5.8 bilion pada 2024, dan RM7.6 bilion pada 2025.

“Ini adalah hak dan kewajaran membantu yang munasabah, menunjukkan peningkatan hampir 60% berbanding 2022,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ Madani di Pekarangan Stadium Negeri.

Anwar yang juga menteri kewangan , berkata antara projek utama dilaksanakan di Pulau Pinang ialah projek Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD).

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan tidak meminggirkan negeri lain, sebaliknya terus meningkatkan peruntukan pembangunan di seluruh negara selaras dengan pertumbuhan hasil kerajaan.

Selepas majlis berkenaan, Anwar mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Seberang Perai Tengah di Bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Bukit Mertajam bagi menyelaras agenda pembangunan setempat.

Mesyuarat berlangsung 45 minit itu yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow, Timbalan Ketua Menteri I Mohamad Abdul Hamid serta pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan membincangkan isu pembangunan setempat termasuk aspek infrastruktur, ekonomi dan kesejahteraan rakyat di daerah Seberang Perai Tengah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.