SKDS bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dibuka 4 Mei

SKDS bagi Sabah, Sarawak dan Labuan dibuka 4 Mei

Pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi bagi kenderaan pengangkutan darat barangan dibuka bermula 4 Mei.

Kadar harga subsidi semasa bagi SKDS sektor pengangkutan darat barangan adalah RM2.15 seliter.
PAPAR:
Permohonan pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi kenderaan pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan dibuka bermula 4 Mei depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Ali.

Kenderaan-kenderaan yang didaftarkan bagi syarikat pengangkutan darat barangan yang berkelayakan boleh memanfaatkan subsidi diesel tertakluk kepada kadar yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Sebagaimana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof pada 6 April 2026, pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan melalui SKDS akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan,” katanya selepas merasmikan Program Kempen Turun Harga @ Bataras.

Kadar harga subsidi semasa bagi SKDS sektor pengangkutan darat barangan adalah RM2.15 seliter dan pembelian diesel bersubsidi oleh syarikat pengangkutan berkenaan akan dilaksanakan menggunakan kaedah kad subsidi diesel (fleet card).

“Syarikat pengangkutan yang berkelayakan dan telah mendaftar dalam SKDS perlu memohon fleet card daripada syarikat minyak pilihan dengan mengemukakan bersama dokumen surat kelulusan dan senarai kenderaan yang boleh dicetak daripada SKDS,” katanya.

Armizan berkata butiran penuh pelaksanaan pendaftaran akan diumumkan pada 1 Mei 2026.

“Sebagai persiapan untuk pendaftaran, para pemilik syarikat dinasihatkan supaya memastikan ketersediaan semua rekod dan dokumen berkaitan seperti pendaftaran syarikat adalah aktif dan kenderaan-kenderaan dengan cukai jalan yang sah,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.