Tak hairan jika WWIII tercetus esok, kata anak Erdogan

Tak hairan jika WWIII tercetus esok, kata anak Erdogan

Bilal Erdogan, anak bongsu presiden Turki berkata dunia menjadi tidak stabil dan tiada siapa boleh ramal apa akan berlaku sebulan atau setahun dari sekarang.

Bilal Erdogan
Bilal Erdogan, anak presiden Turki berkata dunia sedang menyaksikan berakhirnya keseluruhan sistem antarabangsa berasaskan peraturan.
PUTRAJAYA:
Bilal Erdogan, anak kepada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata dunia menjadi tidak stabil dan orang ramai tidak akan terkejut jika Perang Dunia Ketiga tercetus esok.

Beliau berkata, dunia sedang menyaksikan berakhirnya keseluruhan sistem antarabangsa berasaskan peraturan akibat serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran.

Beliau memberi contoh reaksi kerajaan Belanda terhadap tindakan balas Iran ke atas serangan udara berskala besar, dengan berkata tindakan Tehran itu bukan “tidak bersebab”.

Katanya, beliau hairan ada kerajaan bukan sahaja gagal mempertikaikan serangan AS-Israel yang menyebabkan kematian pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei, tetapi turut menyumbang kepada pencerobohan itu.

“Dunia kini menjadi tidak stabil dan tiada siapa boleh meramalkan apa akan berlaku sebulan atau setahun dari sekarang, sama ada dari segi ekonomi mahupun politik,” katanya ketika berucap dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani bertajuk “Muslim Unity in Times of Geopolitical Crisis” malam tadi.

Bilal juga tidak percaya dunia dalam “keadaan lebih teruk” sebelum Perang Dunia Pertama dan Kedua berbanding sekarang.

“Jadi, jika Perang Dunia Ketiga tercetus esok, tiada siapa yang hairan.”

Beliau mendakwa tamadun Barat yang selama ini mengaku membawa kestabilan, kemajuan, keamanan, kebebasan, demokrasi dan nilai liberal kepada dunia, kini tidak lagi berminat dengan prinsip itu.

“Nilai itu hanya sah dan relevan, selagi ia menguntungkan kepentingan Barat,” kata ahli perniagaan itu yang turut menganggotai lembaga Yayasan Belia Turki. Sejak kebelakangan ini, spekulasi bertebaran mengatakan beliau sedang dipersiapkan sebagai pengganti bapanya.

Bilal, 44, kini lebih kerap muncul di media pro-kerajaan Turki, sekali gus mencetuskan spekulasi penyertaannya dalam arena politik. Tetapi, beliau pada April lalu memberitahu agensi berita Tass dari Rusia: “Saya tiada cita-cita politik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.