Walau Jun Hao kalah mengejut, Malaysia bangkit tumpaskan Finland

Walau Jun Hao kalah mengejut, Malaysia bangkit tumpaskan Finland

Skuad lelaki tempah slot suku akhir Piala Thomas dan akan menentang Jepun dalam aksi seterusnya untuk merebut kedudukan juara Kumpulan B.

Goh Sze Fei Nur Izzuddin
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyumbang mata kemenangan buat Malaysia selepas menewaskan Eliel Melleri-Niilo Nyqvist. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia bangkit menempah slot ke suku akhir Piala Thomas selepas Leong Jun Hao tumpas mengejut dalam aksi perseorangan pertama menentang pasukan bukan pilihan, Finland.

Skuad kebangsaan mempamerkan aksi bertenaga dalam tiga perlawanan seterusnya untuk mendahului 3-1, sekali gus menjamin tempat dalam kelompok lapan terakhir kejohanan di Horsens, Denmark.

Malaysia, yang menewaskan England 3-2 semalam, akan menentang Jepun pada Rabu untuk merebut gelaran juara Kumpulan B, yang menawarkan status pilihan dalam undian semula bagi peringkat suku akhir.

Jun Hao, yang menghuni ranking ke-25 dunia, mudah tunduk kepada pemain ranking ke-60 dunia dari Finland, Joakim Oldorff, dalam permainan set terus 21-17, 21-15 dalam masa 43 minit.

Jun Hao, yang tidak diturunkan dalam perlawanan pembukaan menentang England pada Sabtu, tampak lesu dan melakukan banyak kesilapan mudah.

Justin Hoh kemudian menyamakan kedudukan 1-1 untuk Malaysia selepas menumbangkan Kalle Koljonen 21-14, 21-12, dalam masa 39 minit.

Lee Zii Jia, yang menghuni ranking ke-82, memberikan kelebihan buat Malaysia apabila menewaskan pemain ranking ke-706 dunia, Ananda Galvani Daniswara, 21-19, 21-10 dalam perlawanan perseorangan ketiga selama 35 minit.

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melengkapkan kemenangan buat skuad negara dengan mengalahkan Eliel Melleri-Niilo Nyqvist 21-12, 21-15, dalam masa 23 minit sahaja.

Beregu gandingan baharu, Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun akan menentang Ananda Galvani Daniswara-Alvar Melleri dalam perlawanan terakhir, yang dijangka akan memihak kepada Malaysia.

Malaysia selaku juara lima kali Piala Thomas dengan kali terakhir menjulang trofi berprestij itu pada 1992.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.