Wanita menyamar kutip bayaran di HSA didenda RM3,500

Wanita menyamar kutip bayaran di HSA didenda RM3,500

Nor Shahira Abdul Razak mengaku salah perdaya lelaki warga asing serah RM700 untuk proses discaj di hospital berkenaan minggu lalu.

Mahkamah Majistret Johor Bahru juga memerintahkan Nor Shahira Abdul Razak dipenjara lima bulan jika gagal bayar denda tersebut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang wanita didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas mengaku salah memperdaya lelaki warga asing serah RM700 untuk proses discaj di Hospital Sultanah Aminah (HSA), minggu lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman denda itu selepas Nor Shahira Abdul Razak, 28, membuat pengakuan bersalah atas tuduhan tersebut, lapor Berita Harian.

Mahkamah juga memerintahkan Nor Shahira menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Nor Shahira yang juga penganggur didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Gazee Israfil, di kaunter polis bantuan Unit Hasil dan bilik daftar masuk HSA pada 21 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif, manakala tertuduh diwakili peguam Heng Wang Qianwei dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Pengurusan HSA pada 22 April lalu menafikan dan memandang serius isu tular berkaitan individu didakwa petugas hospital yang meminta bayaran deposit wad secara tunai tanpa resit rasmi.

HSA menerusi hantaran di Threads memaklumkan siasatan awal mendapati individu berkenaan bukan petugas hospital, dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.