
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata ancaman siber kini menjadi cabaran global susulan perkembangan teknologi yang pesat.

Katanya, jika sebelum ini pertahanan negara tertumpu kepada darat, laut dan udara, Malaysia kini bergerak memperkukuh keupayaan dalam ruang siber.
Menurutnya, serangan siber lebih pantas dan kompleks berbanding ancaman konvensional, sekali gus memerlukan pendekatan lebih tersusun.
“Kita tidak nafikan Malaysia sedang memperkasakan domain keempat iaitu tentera siber,” katanya dalam temu bual FMT.
Adly berkata, Kementerian Pertahanan kini dalam proses menaik taraf struktur sedia ada melalui penubuhan Markas Pemerintahan Siber dan Elektromagnet, berbanding sebelum ini hanya mempunyai Bahagian Siber dan Elektromagnet Pertahanan.
Katanya, langkah itu menjadi asas penting ke arah melengkapkan pembentukan domain pertahanan siber pada masa depan.
Beliau berkata, pembangunan keupayaan siber bukan sahaja melibatkan aset dan sistem teknologi, tetapi memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta kepakaran teknikal.
“Melalui penubuhan markas ini, keupayaan siber akan diperkukuh dan latihan anggota dapat dilaksanakan lebih tersusun,” katanya.
Adly turut menyifatkan generasi muda termasuk wanita, sebagai aset penting dalam memperkasakan pertahanan siber negara.
Katanya, penyertaan wanita dalam Angkatan Tentera (ATM) kini sekitar 9% berbanding sasaran 15%, namun bidang siber dijangka mampu meningkatkan penglibatan mereka.
“Dengan adanya domain siber, penyertaan wanita boleh dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata, institusi pengajian tinggi tempatan mempunyai ramai penuntut berkemahiran dalam teknologi dan keselamatan siber yang boleh menyokong pembangunan keupayaan pertahanan negara.