
Arahan tersebut merujuk kepada keputusan sidang khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan bertarikh 17 April, menurut suatu surat dilihat FMT.
Surat itu ditujukan kepada setiausaha sulit bagi Mubarak Dohak, bekas Undang Luak Sungei Ujong.
“Pihak tuan diarahkan untuk melaksanakan pengosongan bangunan kediaman rasmi dan Balai Undang Luak Sungei Ujong berkuatkuasa serta merta,” menurut surat bertarikh 29 April, ditandatangani setiausaha bahagian dari Bahagian Khidmat Pengurusan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Zafir Ibrahim enggan mengesahkan atau menafikan surat berkenaan. “Saya tak boleh komen apa-apa,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Tiada sebarang pergerakan keluar daripada kediaman rasmi, menurut kru FMT di lapangan ketika berita ini ditulis.
Sementara itu, wakil pejabat Balai Undang Luak Sungei Ujong mengesahkan ia telah menerima surat arahan pengosongan berkenaan, diserahkan oleh wakil dari pejabat setiausaha kerajaan negeri sekitar 4.50 petang tadi.

Menurutnya, perkara itu akan dirujuk kepada peguam bagi tindakan lanjut.
Semalam, suatu pertemuan diadakan di Balai Undang Luak Sungei Ujong melibatkan Mubarak, Undang Luak Jelebu Maarof Mat Rashad, Undang Luak Johol Muhammad Abdullah, Undang Luak Rembau Abdul Rahim Yasin, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri dan Datuk Syahbandar Sungei Ujong Baharudin Abdul Khalid.
Pada 20 April lalu, Menteri Besar Aminuddin Harun mengumumkan Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong.
Menurutnya, sidang khas DKU pada 17 Apr bersetuju menasihat dan menerima kesepakatan Telaga Undang, Waris Klana Hulu, Luak Sungei Ujong yang memberhentikan Mubarak, selaras dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Pengumuman Aminuddin itu menjawab tindakan Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 19 Apr.
Aminuddin berkata tindakan Mubarak itu tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf oleh kerajaan negeri.