
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Komunikasi Korporat MBK Hani Syazani Kamarudin Arifin berkata, permohonan oleh penganjur program tersebut diterima pada 15 April lepas.
Menurutnya, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan MBK pada 23 April, yang memutuskan untuk menolak permohonan itu memandangkan ia tidak mematuhi syarat minimum tempoh pengemukaan permohonan, iaitu sekurang-kurangnya 21 hari sebelum tarikh acara berlangsung.
“Tempoh antara tarikh pengemukaan permohonan dengan tarikh acara tidak mencukupi dan gagal memenuhi syarat yang telah ditetapkan.
“Sehubungan itu, rayuan yang dikemukakan juga tidak dipertimbangkan,” kata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan, lapor Bernama.
Beliau berkata, jika acara tersebut diteruskan tanpa kelulusan, tindakan penguatkuasaan bersepadu akan diambil mengikut bidang kuasa setiap agensi terlibat seperti polis, MBK dan Jabatan Agama Islam Pahang.
Terdahulu, penganjuran festival yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Mei itu mengundang reaksi negatif masyarakat termasuk pemimpin parti politik.