Truper cedera parah di kem: Tentera Darat jalan siasatan dalaman

Truper cedera parah di kem: Tentera Darat jalan siasatan dalaman

Tindakan sewajarnya terhadap 2 anggota terlibat akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan, kata menteri pertahanan.

khaled nordin
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, kes Truper Abdul Hamid Talib cedera parah ketika berada di Kem Iskandar, Mersing, juga kini dalam perhatian polis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tentera Darat telah melaksanakan siasatan dalaman berhubung insiden kecederaan Truper Abdul Hamid Talib dipercayai melibatkan dua anggota tentera, menurut Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

“Tindakan sewajarnya terhadap anggota terlibat akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan,” katanya, lapor Bernama.

“Kementerian Pertahanan komited memastikan kes ini ditangani secara telus, adil dan mengikut lunas undang-undang.”

Khaled berkata, kes itu juga kini dalam perhatian polis dan pihaknya menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada polis.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Pertahanan terus memantau rapi keadaan Abdul Hamid, 25, yang sedang menjalani rawatan pemulihan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Terdahulu, keluarga Abdul Hamid meminta kerajaan memberikan penjelasan dan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kecederaan parah yang dialami anggota Grup Gerak Khas daripada Rejimen 22 Komando itu semasa berada di Kem Iskandar, Mersing, Johor.

Penasihat Lawyers for Liberty N Surendran yang juga jurucakap keluarga mangsa berkata, setakat ini mereka belum menerima penjelasan munasabah mengenai punca Abdul Hamid cedera parah sehingga berada dalam keadaan vegetatif.

Beliau berkata, mangsa yang sebelum ini sihat dilaporkan mengalami kecederaan parah pada 11 Mac ketika berada di kem itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.