
Anwar berkata, data menunjukkan semakin ramai wanita berusia antara 25 hingga 29 tahun meninggalkan tenaga kerja, dengan komitmen berkaitan keibuan antara faktor yang mendorong keadaan itu.
“Sebagai langkah progresif ke hadapan, kerajaan pada dasarnya bersetuju memperkenalkan elaun sekali beri,” katanya pada sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan.
Menurutnya, elaun yang dicadangkan itu adalah sebanyak 80% daripada gaji semasa pekerja.
“Kira-kira 132,000 wanita dijangka mendapat manfaat daripada skim ini,” katanya.
Mengikut Akta Kerja 1955, setiap pekerja wanita di negara ini layak menikmati cuti bersalin sebanyak 98 hari berterusan termasuk hari rehat dan hari kelepasan am.
Pekerja wanita turut layak mendapatkan elaun bersalin sekiranya bekerja sekurang-kurangnya 90 hari dalam tempoh sembilan bulan sebelum bersalin, bekerja sekurang-kurangnya sehari dalam tempoh empat bulan sebelum bersalin, dan mempunyai kurang daripada lima orang anak yang masih hidup.