
Penganjurannya dibuat ketika Negeri Sembilan dilanda krisis kepimpinan susulan tindakan 14 Adun Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun daripada PH.
Poster dikongsi pentadbir Facebook Presiden Amanah Mohamad Sabu itu memaparkan gambar Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang juga perdana menteri, serta Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook.
Turut dipaparkan gambar Mohamad; Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail; Aminuddin yang juga Adun Sikamat; Pengerusi DAP Gobind Singh Deo dan Speaker DUN Negeri Sembilan MK Ibrahim Abd Rahman.
Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada paparan gambar pemimpin utama PH pada poster itu bermaksud mereka akan hadir pada ceramah bermula 8 malam berkenaan.
Isnin lalu, semua 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.
Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata keputusan itu dibuat susulan krisis didakwa membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.
BN kemudian mendakwa mempunyai majoriti mudah dalam DUN 36 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan kesediaan bekerjasama.
Gabungan BN-PN menyaksikan blok itu memiliki 19 kerusi, mengatasi 17 kerusi PH di DUN Negeri Sembilan. Komposisi DUN selepas PRN 2023 ialah PH 17 kerusi, BN 14 dan PN lima.
Bagaimanapun, Biro Politik Umno pada Khamis memutuskan parti itu kekal menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan, walaupun menghormati pendirian Adun BN yang hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.