
Mereka berkata elaun itu wajar dilihat sebagai permulaan merapatkan jurang antara Tingkatan 6 dengan laluan prauniversiti lain seperti matrikulasi, tetapi bukan penyelesaian tunggal kepada cabaran dihadapi pelajar.
Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata jumlah RM250 sebulan adalah munasabah pada peringkat awal, terutama bagi meningkatkan pengambilan pelajar ke Tingkatan 6 dengan menyediakan tarikan serta motivasi.
Namun beliau turut menekankan kepada aspek pendidik yang menurutnya perlu berkemahiran tinggi memandangkan status Tingkatan 6 bukan sekadar lanjutan sekolah menengah sebaliknya setara laluan prauniversiti lain.
“Guru-guru mesti mempunyai kemahiran, pengetahuan dan kesediaan tinggi untuk mengajar pelajar Tingkatan 6, tak lagi boleh bergantung kepada buku teks semata-mata,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang meneliti memberikan elaun kepada pelajar Tingkatan 6, sama seperti yang dinikmati penuntut program matrikulasi.
Menurutnya, ia selari langkah pengambilalihan sistem pendidikan prauniversiti melibatkan pelajar Tingkatan 6 dan matrikulasi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang sebelum ini berada bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
Ketika ini pelajar matrikulasi mendapat Bantuan Sara Hidup Pelajar Matrikulasi (BSHP) berjumlah RM250 sebulan.
Anuar yang juga timbalan pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia UKM berkata turut mencadangkan lebih banyak asrama disediakan, khususnya untuk pelajar luar bandar yang tinggal jauh daripada kolej Tingkatan 6.
“Jika kolej Tingkatan 6 diperkemas dengan guru terlatih, infrastruktur baik dan asrama mencukupi, laluan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) boleh jadi pilihan utama selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Mohd Effendi @ Ewan Mohd Matore turut senada kadar elaun RM250 sebulan wajar sebagai permulaan tetapi jumlah lebih ideal ialah sekitar RM300 hingga RM350.
Beliau berkata jumlah sebenar mencukupi bergantung kepada lokasi dan latar sosioekonomi pelajar, memandangkan kos di bandar besar jauh lebih tinggi berbanding luar bandar.
Namun, beliau berpandangan keberkesanan pembelajaran STPM juga bergantung sokongan bukan kewangan seperti baucar buku, akses internet, peranti pinjaman dan langganan perisian pembelajaran.
“Ia keperluan asas kerana pelajar STPM perlu membuat penyelidikan, pembentangan dan tugasan digital menggunakan sumber akademik berkualiti.
“Pelajar Tingkatan 6 juga memerlukan akses perisian sokongan seperti aplikasi penulisan, reka bentuk, statistik, penterjemahan AI, perpustakaan digital dan arkib jurnal akademik,” katanya.