
Tegasnya, ia tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang gagal mematuhi undang-undang buruh atau mengingkari perintah mahkamah.
“Tindakan tegas akan diteruskan bagi memastikan hak dan kebajikan pekerja sentiasa dilindungi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, FMT hari ini melaporkan Esstar Vision Sdn Bhd menafikan dakwaan enggan membayar gaji tertunggak kepada kira-kira 50 pekerja asingnya.
Jurucakapnya, Law Yuk Hui dilaporkan berkata, syarikat itu telah memulakan pembayaran sebahagian dan masih berbincang dengan pekerja terjejas.
Syarikat itu komited menyelesaikan perkara itu “secara bertanggungjawab dan mengikut undang-undang Malaysia” serta akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.
Law berkata demikian susulan aduan kira-kira 50 pekerja Bangladesh yang mendakwa isu gaji tertunggak mereka belum diselesaikan, walaupun ada campur tangan Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Tenaga Kerja Johor.
Seorang pekerja hanya mahu dikenali Md Rubel yang bercakap bagi pihak pekerja asing mendakwa syarikat itu berhutang gaji tertunggak tiga hingga lapan bulan.
Rubel berkata, masalah itu belum selesai walaupun sudah beberapa kali mereka memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh.
JTKSM berkata, mahkamah telah memerintahkan Esstar Vision membayar baki gaji tertunggak berjumlah RM449,356.61 secaa dua ansuran, tetapi syarikat itu hanya membayar sebahagian daripadanya dan masih berhutang RM335,556.61.
Jelasnya, kes itu membabitkan 93 pekerja tempatan dan asing yang telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Buruh berhubung gaji tertunggak berjumlah RM659,287.55.
Menurutnya, 21 kertas siasatan telah dibuka terhadap majikan itu atas kesalahan lewat membayar gaji, di mana beberapa kes telah selesai dan selebihnya dalam tindakan lanjut serta semakan pihak pendakwaan.
Katanya, JTKSM telah menghubungi Kedutaan Bangladesh bagi memastikan kebajikan pekerja asing terbabit dilindungi dan bantuan sewajarnya disalurkan kepada mereka.
“Pada masa sama, majikan diarahkan segera menyambung semula bekalan air bersih ke asrama pekerja dan memastikan pematuhan penuh terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990.”