Beberapa jalan di Paroi ditutup lancarkan ceramah perdana PH

Beberapa jalan di Paroi ditutup lancarkan ceramah perdana PH

Ketua Polis Seremban, Azahar Abdul Rahim berkata penutupan jalan akan dilaksanakan bermula 7 malam sehingga selesai program.

Seremban police chief Azahar Abdul Rahim
Ketua Polis Seremban, Azahar Abdul Rahim menasihati pengguna jalan raya khususnya penduduk di kawasan Taman Paroi Jaya menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Beberapa laluan utama di sekitar Taman Paroi Jaya akan ditutup sementara esok bagi memberi laluan kepada Program Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan yang akan berlangsung di Tapak Parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Program berkenaan turut akan dihadiri Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, yang juga perdana menteri.

Ketua Polis Seremban, Azahar Abdul Rahim berkata penutupan jalan akan dilaksanakan bermula 7 malam sehingga selesai program, melibatkan Jalan Kedidi serta Lorong Kedidi 1, 2, 3, 4, 5 dan 7.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya khususnya penduduk di kawasan Taman Paroi Jaya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Persiaran Merak dan Jalan Tok Dagang bagi mengelakkan kesesakan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan anggota polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang program berlangsung.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bilik Gerakan IPD Seremban.

Penganjur ceramah PH itu dibuat ketika Negeri Sembilan dilanda krisis kepimpinan susulan tindakan 14 Adun Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun daripada PH.

Selain Anwar, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail; Aminuddin yang juga Adun Sikamat; Pengerusi DAP Gobind Singh Deo dan Speaker DUN Negeri Sembilan MK Ibrahim Abd Rahman dijangka turut hadir dalam ceramah tersebut.

Sebelum ini, semua 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata keputusan itu dibuat susulan krisis didakwa membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

BN kemudian mendakwa mempunyai majoriti mudah dalam DUN 36 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, dengan sokongan lima Adun Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan kesediaan bekerjasama.

Gabungan BN-PN menyaksikan blok itu memiliki 19 kerusi, mengatasi 17 kerusi PH di DUN Negeri Sembilan. Komposisi DUN selepas PRN 2023 ialah PH 17 kerusi, BN 14 dan PN lima.

Bagaimanapun, Biro Politik Umno pada Khamis lalu memutuskan parti itu kekal menyokong kerajaan perpaduan Negeri Sembilan, walaupun menghormati pendirian Adun BN yang hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.