Keluarga Teoh Beng Hock fail permohonan baharu buka siasatan kes bunuh

Keluarga Teoh Beng Hock fail permohonan baharu buka siasatan kes bunuh

Peguam Ramkarpal Singh berkata permohonan untuk memulakan semakan kehakiman telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bulan lalu.

personal Teoh Beng Hock
Teoh Beng Hock ditemui mati pada Julai 2009, di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas hadir untuk disoal siasat di pejabat SPRM. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Keluarga Teoh Beng Hock memfailkan permohonan baharu bagi memaksa polis membuka siasatan pembunuhan terhadap kematiannya 17 tahun lalu.

Peguam utama, Ramkarpal Singh pada sidang media hari ini berkata, permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman telah difailkan di Mahkamah Tinggi di sini bulan lalu.

Beliau berkata mereka memohon satu deklarasi bahawa kematian Teoh perlu disiasat sebagai kes pembunuhan.

Mereka juga memohon perintah mahkamah untuk mengarahkan polis memulakan siasatan tersebut dan menyiapkannya dalam tempoh 120 hari dari tarikh perintah mahkamah.

Ramkarpal berkata mahkamah menetapkan 18 Mei untuk pendengaran dan dokumen kes akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kami sebelum ini menghantar surat kepada polis untuk mengetahui sama ada sebarang kertas siasatan bagi kes pembunuhan (kematian Teoh) pernah dibuka.

“Mereka menjawab pada 20 Jan bahawa siasatan hanya dijalankan di bawah ‘kurungan salah’ atau Seksyen 342 Kanun Keseksaan,” katanya.

Peguam bersama, Lim Wei Jiet, berkata siasatan kurungan salah yang dijalankan sebelum ini tidak ada kaitan dengan kematian Teoh.

“Ia merupakan kesalahan kecil (berbanding pembunuhan),” tambahnya.

Lim mengakui bahawa beberapa kertas siasatan berhubung kematian Teoh pernah dibuka sebelum 2018, namun berkata fokus siasatan tersebut tidak jelas.

Teoh, pembantu kepada bekas exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas hadir untuk disoal siasat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Siasatan inkues pada awalnya memberikan keputusan terbuka. Bagaimanapun, pada 2014, Mahkamah Rayuan Malaysia memutuskan bahawa kematiannya disebabkan oleh ‘seorang atau lebih individu yang tidak dikenali’, termasuk pegawai SPRM.

Dua pasukan siasatan khas ditubuhkan pada 2011 dan 2015 untuk menyiasat kematian Teoh, namun kedua-duanya diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) oleh pihak pendakwaan.

Polis melengkapkan siasatan berkaitan kurungan salah tahun lalu selepas perintah mahkamah pada 2024, dan Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai NFA.

AGC turut menyatakan bahawa tiada bukti mencukupi untuk membuktikan sebarang kesalahan terhadap mana-mana individu di sisi undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.