2 lelaki didakwa edar dadah lebih 130kg di Tawau

2 lelaki didakwa edar dadah lebih 130kg di Tawau

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan.

tawau
Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas tuduhan edar methamphetamine pada 21 April lepas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Tawau atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 130kg bulan lepas.

Ng Chuan Tong, 51, yang bekerja di premis peminjam wang berlesen, dan penghantar barang Herman Patte, 35, hanya mengangguk faham selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Bernama.

Mereka didakwa dengan niat bersama-sama mengedar dadah berbahaya dengan berat kasar 130,575.18 gram di Batu 15 Jalan Apas, Tawau, pada 9.30 malam, 21 April lepas.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin, manakala kedua-dua lelaki itu tidak diwakili peguam.

Majistret Dayang Aidaku Amira tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh, dan menetapkan 2 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.