AirAsia sah tempahan bersejarah 150 pesawat Airbus A220

AirAsia sah tempahan bersejarah 150 pesawat Airbus A220

Ia merupakan tempahan terbesar bagi model Airbus A220 setakat ini.

AirAsia X
Ketua Pegawai Eksekutif Airbus bagi Perniagaan Pesawat Komersial Lars Wagner berkata dengan tempahan AirAsia, pesawat enjin berkembar itu kini melepasi 1,100 tempahan. (Gambar AirAsia)
KUALA LUMPUR:
Airbus mengesahkan AirAsia menempah 150 pesawat Airbus A220, tempahan terbesar bagi model itu setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Airbus bagi Perniagaan Pesawat Komersial, Lars Wagner, membuat pengumuman itu di Mirabel, Quebec, Kanada pada 2.30 petang Rabu (3 pagi waktu Malaysia).

Turut hadir ketika pengumuman itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tony Fernandes yang juga pengasas syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia.

Majlis pengumuman perjanjian bersejarah itu turut disaksikan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney.

“Tempahan ini merupakan satu undi percaya besar terhadap kemudahan Airbus serta kepada warga Mirabel, Quebec dan Kanada. Malah, setiap pesawat yang akan diterima oleh Fernandes adalah hasil daripada kemudahan di Mirabel ini.

“Ia juga membuktikan keputusan kami membawa Airbus A220 ke dalam portfolio penuh Airbus adalah tepat. Marilah kita bina pesawat ini dari hangar ini dan memasukkannya dalam barisan armada anda secepat mungkin.

“Izinkan saya mengakhiri ucapan dengan menyatakan pada pandangan saya, hari ini merupakan hari yang menguntungkan semua pihak,” kata Wagner dalam ucapannya.

Dengan tempahan AirAsia, beliau berkata, pesawat enjin berkembar itu kini melepasi 1,100 tempahan dan menyifatkannya pencapaian besar untuk program Airbus A220.

Jelasnya, pesawat Airbus ini merupakan pencetus perubahan yang akan membolehkan AirAsia menghubungkan bandar belum pernah dihubungkan setakat ini.

“Dan Airbus A220, seperti mana yang saya pasti semua orang di dalam bilik ini sedia maklum, merupakan satu-satunya reka bentuk baharu sepenuhnya dalam kelasnya dan perkara itu dibuktikan melalui angka, iaitu pengurangan pembakaran bahan api dan pengurangan CO2 sebanyak 25%.”

Airbus A220 merupakan pesawat terkecil dalam barisan jet komersial Airbus. Ia pesawat berbadan sempit yang direka untuk penerbangan jarak pendek-sederhana dan dibina khusus untuk kategori pesawat 100 hingga 160 tempat duduk.

Sementara itu, Fernandes berkata, tempahan 150 pesawat Airbus A220 itu akan menelan belanja sekitar USD19 bilion, dengan penghantaran pertama dijangka tiba selewat-lewatnya suku pertama 2028.

Jelasnya, Airbus A220 akan membuka potensi pasaran dan laluan baharu, sekali gus membawa mereka lebih dekat untuk membina rangkaian syarikat penerbangan kos rendah yang pertama di dunia.

“Jadi, dengan adanya pesawat berkapasiti 160 tempat duduk ini, ia membolehkan kami meningkatkan margin keuntungan sekitar dua hingga tiga mata peratusan, di samping membina rangkaian yang jauh lebih luas.

“Pesawat ini juga boleh terbang sehingga tujuh jam dan di Asia, ia mempunyai nilai sangat tinggi pada kami,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian tempahan Airbus A220 yang disiarkan secara langsung dari Mirabel.

Terdahulu, Fernandes dalam ucapannya menyuarakan minat terhadap kemungkinan membeli 150 pesawat lagi, jika Airbus membina versi lebih panjang dikenali A220-500 yang mampu memuatkan sekitar 185 tempat duduk.

“Ini merupakan perjanjian bernilai USD19 bilion yang boleh meningkat sehingga USD38 bilion, sekiranya kami dapat memiliki versi lebih panjang itu,” katanya.

Ditanya mengapa beliau memerlukan versi A220 lebih panjang, beliau berkata, pesawat A320 sedia ada kini menghampiri penghujung jangka hayatnya dan pesawat dengan 180 tempat duduk akan menjadi pengganti sempurna.

“Orang ramai mungkin tertanya-tanya mengapa kami membeli begitu banyak pesawat semasa krisis terbaru ini, namun krisis merupakan peluang untuk membuat keputusan berani.

“Kami telah membangunkan AirAsia dengan membuat keputusan berani pada saat tepat, bukannya pada saat paling mudah. Tempahan ini mencerminkan disiplin jangka panjang kami serta skala cita-cita kami.

“Kerjasama kami dengan Airbus menjangkau lebih dua dekad dan menjadi tunjang kepada segala pencapaian kami. Hari ini merupakan satu lagi mercu tanda dalam perjalanan itu dan banyak lagi yang akan menyusul pada masa depan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.