
Keputusan tersebut mengambil kira ketidakpastian berikutan konflik di Asia Barat, kata BNM.
“Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” kata BNM dalam kenyataan.
BNM menurunkan OPR daripada 3% kepada 2.75% pada Julai 2025, sebagai langkah awalan yang bertujuan mengekalkan persekitaran pertumbuhan Malaysia yang stabil dalam keadaan prospek inflasi yang sederhana.
BNM hari ini menerangkan penunjuk terkini bagi Malaysia menunjukkan momentum pertumbuhan yang berterusan pada suku pertama, didorong oleh permintaan dalam negeri yang mampan dan pertumbuhan eksport yang kukuh.
“Pada masa hadapan, ketidakpastian berhubung dengan tempoh dan keseriusan konflik Timur Tengah akan mempengaruhi prospek pertumbuhan dan inflasi dalam negeri.
“Bagaimanapun, asas-asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara,” katanya.
Menurut BNM, guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah-langkah dasar akan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.
Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, lebih banyak pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan, serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.
Sektor luaran pula akan mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh, manakala perbelanjaan pelancong akan berterusan meskipun pada kadar yang lebih sederhana.
“Prospek pertumbuhan ini kekal tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan berikutan konflik yang berlarutan di Timur Tengah dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah,” katanya.
“Sementara itu, potensi pertumbuhan menjadi pesat boleh berpunca daripada konflik yang mereda, permintaan terhadap barangan E&E yang lebih kukuh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat.”
Sementara itu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.6% dan 2.1% pada suku pertama 2026.
“Harga komoditi global yang lebih tinggi akibat konflik Timur Tengah dijangka meningkatkan tekanan kos dalam negeri, lantas menyebabkan inflasi meningkat sedikit,” katanya.
“Bagaimanapun, kesan konflik terhadap inflasi keseluruhan dan inflasi teras pada tahun 2026 dijangka kekal terkawal. Hal ini mencerminkan langkah-langkah dasar dalam negeri dan keadaan permintaan yang stabil, yang akan mengurangkan pindahan tekanan kos luaran kepada harga dalam negeri.”