Remaja dipercayai dikelar ditemui dalam tandas rumah sewa

Remaja dipercayai dikelar ditemui dalam tandas rumah sewa

Kejadian dikatakan berlaku selepas mangsa berusia 16 tahun didatangi suspek dipercayai kenalan ketika bersendirian menjaga anak kakaknya di rumah.

Pasukan polis termasuk Unit Forensik, IPK Sabah sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian di Kampung Tuntuluk dekat Penampang.
PETALING JAYA:
Seorang remaja warga asing parah akibat dikelar di leher dengan pisau di rumah sewanya di Kampung Tuntuluk, dekat Penampang, hari ini.

Gadis berusia 16 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam tandas rumah tersebut oleh pemiliknya.

Berita Harian melaporkan kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu dikatakan berlaku selepas mangsa didatangi suspek yang dipercayai kenalannya.

Pemilik rumah sewa itu yang enggan dikenali berkata, beliau dihubungi salah seorang penyewa yang memintanya segera pergi ke kediaman terletak bersebelahan rumahnya.

“Sebaik saja menghampiri rumah itu, saya nampak seorang lelaki berlari menaiki bukit di hadapan rumah.

“Ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa. Namun, apabila masuk ke dalam rumah, saya nampak mangsa terbaring di tandas dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, sebaik menemui mangsa, dia menghubungi kakak remaja itu dan seterusnya pihak berkuasa.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama kakaknya di rumah sewa itu sejak kira-kira tiga tahun lalu, dan sedang menjaga anak kakaknya ketika kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Penampang, Sammy Newton, mengesahkan mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan cedera pada bahagian leher.

Beliau berkata, pasukan polis termasuk Unit Forensik, IPK Sabah, sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi.

Sehubungan itu, polis sedang mengesan seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang Hairie Awang Akub di talian 016-8032849.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.