
Berucap dalam forum bertajuk ‘Shaping the Future of Malaysian Media in the Digital and AI Era’ sempena Hawana 2026, Azeem berkata syarikat media kini berdepan gelombang gangguan kedua selepas media sosial merombak model perniagaan tradisional.
“Media sosial mengambil alih pengedaran dan hasil pengiklanan. Kita menyangka keadaan paling buruk sudah berlalu, kemudian AI pula muncul,” katanya.
Azeem berkata khalayak kini semakin banyak mendapatkan maklumat secara terus dengan bantuan AI berbanding melayari laman web dan platform media sosial.
“Setiap pagi orang ramai boleh bertanya kepada AI apa yang berlaku hari ini, dan ia akan buat ringkasan maklumat daripada setiap syarikat media secara serta-merta.
“Pada masa depan, jenama media mungkin hilang daripada maklumat yang diberikan AI melainkan pengguna secara khusus bertanya daripada mana sumber maklumat itu diperoleh,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa model perniagaan media yang berdiri sendiri semakin tidak mampan apabila syarikat teknologi besar menguasai hasil pengiklanan digital di seluruh dunia.
“Syarikat teknologi besar kini mengawal kira-kira 85% hasil pengiklanan digital global, menyebabkan setiap syarikat media dan pencipta kandungan bersaing merebut baki selebihnya,” katanya.
Bagaimanapun, Azeem berpandangan media itu sendiri akan terus bernilai dari sudut strategik walaupun struktur bilik berita konvensional berubah secara drastik.
“Syarikat media besar seterusnya tidak akan kelihatan seperti syarikat media. Ia akan lebih menyerupai pusat maklumat berkuasa,” katanya.
Beliau merujuk kepada pengasas Amazon Jeff Bezos, dan pengasas Bloomberg, Michael Bloomberg, sebagai contoh bagaimana pemilikan media kini semakin berfungsi untuk tujuan strategik melebihi keuntungan langsung.
“The Washington Post dilaporkan mengalami kerugian, namun Jeff Bezos masih mengekalkannya kerana media memberi akses, risikan dan kedudukan strategik.
“Bloomberg pula hampir tidak menjana keuntungan daripada berita. Ia menjana keuntungan melalui risikan kewangan dan ekosistem data,” katanya.
Azeem berkata masa depan media terletak pada pembinaan ekosistem berasaskan maklumat, risikan, analisis dan rangkaian strategik, dan bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada pengiklanan.
Berdasarkan pengalamannya sendiri dalam memimpin pemulihan FMT, beliau berkata syarikat itu mengambil pendekatan perniagaan dan ekosistem yang lebih meluas berbanding berfungsi semata-mata sebagai portal berita berdiri sendiri.
“Apabila saya memasuki industri media, saya membawa perspektif perniagaan ke dalam industri. Saya mempelajari aspek editorial daripada veteran seperti Jasbant Singh dan usahawan Nelson Fernandez, sambil memikirkan sesuatu melangkaui model media tradisional,” katanya.
Azeem berkata FMT berkembang dengan membina kerjasama dengan pelbagai organisasi media, memanfaatkan teknologi dan mewujudkan nilai strategik yang lebih luas menerusi aliran maklumat serta pemahaman terhadap khalayak.
“Kita perlu berfikir di luar kotak. Media hari ini tidak lagi boleh bertahan dengan hanya menjual sepanduk dan iklan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa AI tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada kewartawanan, sebaliknya sebagai alat yang mampu meningkatkan nilai kewartawanan berkualiti tinggi.
“AI boleh mengautomasikan berita terkini, rumusan dan laporan berulang. Apa yang sukar ditiru AI ialah hubungan yang dipercayai, perbualan dalaman, pengecaman corak dan pertimbangan,” katanya.
Azeem menggambarkan wartawan masa depan sebagai ‘wartawan super’, iaitu individu yang mampu menggabungkan sumber, kefahaman, pengecaman corak, kecekapan dan reputasi.
“Wartawan yang hanya menulis semula kenyataan media atau hantaran media sosial terdedah kepada automasi.
“Tetapi wartawan yang membina rangkaian hubungan mendalam, bertemu pembuat keputusan, memahami konteks dan menghubungkan pelbagai fakta akan menjadi jauh lebih bernilai dalam era AI,” katanya.
Beliau menambah bahawa wartawan yang lebih tua mungkin menjadi semakin penting kerana ramai dalam kalangan mereka membangunkan kemahiran tersebut sebelum munculnya budaya pelaporan yang dipacu internet.
Azeem turut berpandangan untuk menjadikan transformasi AI berjaya dalam organisasi media memerlukan kepimpinan yang memahami kedua-dua bidang teknologi dan kewartawanan.
Beliau memberikan contoh BBC yang melantik pemimpin berorientasikan teknologi daripada Google bagi membantu organisasi itu mengharungi transformasi digitalnya.
“Pemimpin sesebuah organisasi mesti memahami kedua-dua dunia ini, teknologi dan editorial, supaya dapat menggabungkannya secara berkesan,” katanya.
Forum itu turut menampilkan arkitek penyelesaian awan Huawei Malaysia, Cheah Chern Eu, serta pakar AI dan transformasi digital, Charles Gregory.

Gregory berkata banyak syarikat tergesa-gesa mengadaptasi AI tanpa terlebih dahulu memahami aliran kerja, budaya dan objektif perniagaan mereka sendiri.
“Mereka berkata mereka mahukan automasi dan AI, tetapi apabila ditanya apa sebenarnya yang mahu diautomasikan, ramai tidak dapat memberikan jawapan,” katanya.
Beliau turut memberi amaran algoritma dan penularan kandungan kini semakin mudah dimanipulasi secara buatan, sekali gus menjadikan kepercayaan dan kredibiliti lebih penting dalam era digital.
“AI tidak menggantikan manusia. Manusia yang lebih kompeten akan menggantikan manusia yang kurang kompeten,” katanya.
Mengenai kawal selia, Azeem berkata undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 penting untuk membanteras penipuan, kandungan berbahaya dan maklumat palsu, namun mengingatkan supaya kawal selia tidak menjadi terlalu menyekat.
“Pada akhirnya, kepercayaan masih menjadi asas kepada media.
“Jika khalayak tidak lagi mempercayai anda, mereka akan berhenti membaca kandungan anda, dan itu buruk untuk perniagaan,” katanya.