Pernah diberi peluang hidup 50-50, anak kudung hadiahkan ibu 12A SPM

Pernah diberi peluang hidup 50-50, anak kudung hadiahkan ibu 12A SPM

Di sebalik kaki palsu sejak kecil, Fahry Al-Hazim membesar sebagai hafiz, atlet para dan bukti kasih ibu Siti Nurazlina Noh yang tidak pernah mengalah.

Fahry Al-Hazim Zainul Anuar tile pic 7526
Fahry Al-Hazim Zainul Anuar memakai kaki palsu seawal usia lapan bulan, kini dia berusia 18 tahun dan mengecapi pelbagai kejayaan.
PETALING JAYA:
Ketika berada di puncak kerjaya sebagai jurutera di syarikat minyak dan gas gergasi negara, Siti Nurazlina Noh membuat keputusan besar yang mengubah hidupnya, berhenti kerja demi anak keduanya, Fahry Al-Hazim Zainul Anuar.

Fahry, kini 18 tahun, dilahirkan pramatang pada usia kandungan 28 minggu dengan kaki kanan tidak sempurna akibat Sindrom Jalur Amniotik (ABS).

Keadaan jarang berlaku itu apabila urat halus daripada selaput ketuban melilit anggota badan janin sehingga menyebabkan kecacatan fizikal.

“Doktor cakap peluang bayi saya hidup hanya 50-50. Suami saya pun sampai sudah cari tanah kubur.

“Tapi, Fahry selamat selepas 30 hari dalam inkubator dan keluar wad selepas 42 hari,” kata Azlina kepada FMT.

Tidak mahu mensia-siakan peluang kedua itu, Azlina bersama suaminya Zainul Anuar melepaskan jawatan jurutera bagi memberi tumpuan kepada Fahry.

Keadaan kaki Fahry ketika dilahirkan (kiri).

Di sebalik kekurangan pada anaknya itu, mereka memilih tidak terlalu memanjakannya dan mengikuti pesanan doktor membiasakan Fahry yang bergelar orang kurang upaya (OKU) dengan memakai kaki palsu seawal usia lapan bulan.

Pesanan suami yang berazam menjadikan Fahry lebih hebat di sebalik kudung kaki kanan menguatkan naluri ibu Azalina bagi melihat anak istimewanya itu membesar seperti kanak-kanak biasa.

“Sejak itu, dia sentiasa positif dan sokong anaknya. Kalau Fahry panjat pagar, dia tidak halang. Dia cuma berdiri di belakang untuk menjaga,” kata Zainul.

Fahry mewakili negara dalam sukan para rowing (kiri) 7526
Fahry mewakili negara dalam sukan mendayung para (kiri) dan turut bermain bola sepak kudung (kanan).

Didikan membuahkan hasil 

Didikan yang tidak memanjakan itu membuahkan hasil. Fahry mencatat keputusan cemerlang 12A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran pada usia 16 tahun, selain aktif sebagai atlet mendayung para dan bola sepak kudung.

“Saya dari dulu mahu hidup sihat sebab keadaan sekarang agak sukar bergerak, jadi tidak ada sebab untuk saya tambah menyusahkan lagi,” kata Fahry.

Memilih menyambung pengajian dalam kejuruteraan perisian, Fahry mengakui cukup bertuah dilahirkan sebagai anak kepada dua insan hebat ini.

“Saya bersyukur dilahirkan dalam keluarga berpengetahuan dan mengambil berat masa depan saya.

Fahry bersama ibu, ayah dan tiga lagi adik beradiknya 7526
Fahry bersama ibu, ayah dan tiga lagi adik beradiknya.

“Kalau terlalu memanjakan, saya tidak mungkin akan cemerlang seperti hari ini,” katanya.

Fahry turut berharap anak-anak senasib dengannya di luar sana turut menerima perhatian serta kasih sayang sewajarnya daripada insan sekeliling mereka.

“Kepada ibu, tidak kira apa perbezaan anak-anak anda, teruskan mendoakan kebaikan buat mereka.

“Kepada ibu saya, terima kasih menerima saya seadanya, Selamat Hari Ibu,” ucapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.