Umno tak bantah penggubalan RUU dana politik, kata Azalina

Umno tak bantah penggubalan RUU dana politik, kata Azalina

Menteri undang-undang dan reformasi institusi berkata rujukan kepada setiap parti berhubung pandangan masing-masing akan dibuat secara formal.

AZALINA_OTHMAN
Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said berkata proses mendapatkan maklum balas cadangan penggubalan RUU Pendanaan Politik daripada semua parti politik masih berjalan.
BANGI:
Umno tiada bantahan terhadap cadangan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Ahli Parlimen Pangerang itu berkata, pandangan rasmi Umno bagaimanapun belum dibawa secara formal kerana proses mendapatkan maklum balas cadangan penggubalan RUU itu daripada semua parti politik masih berjalan.

“Setakat ini, tak ada pula bantahan daripada Umno. Tapi, kita tidak bawa dia secara rasmi sebab mereka akan buat rujukan kepada setiap parti secara formal mengenai pandangan masing-masing.

“Jadi, tiada pandangan rasmi, tetapi setakat ini saya tidak dengar Umno memberikan bantahan kepada pendanaan politik,” katanya selepas merasmikan program Dialog Awam Kerangka Akauntabiliti Madani 2026 di sini.

Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata, cadangan penggubalan RUU Akta Pendanaan Politik dalam proses kajian dan memerlukan persetujuan semua parti politik memandangkan mereka akan menjadi pengguna utama undang-undang itu.

Beliau berkata, kajian berkaitan pendanaan politik sentiasa dilakukan, namun masih ada beberapa perkara dasar belum mencapai persetujuan sebulat suara, termasuk keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan serta entiti yang akan mengawal selia dana politik.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi yang juga presiden Umno turut dilaporkan menggesa penggubalan akta itu disegerakan bagi memastikan tiada lagi pihak yang akan teraniaya dan menjadi “kambing hitam” dalam isu pembiayaan politik serta derma politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.