‘Reset’ merintangi penghijrahan Bersatu ke Umno

‘Reset’ merintangi penghijrahan Bersatu ke Umno

Gerakan 'reset' dipelopori bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, kelihatan lebih kuat dan bukannya tawaran Umno tidak menarik.

HAMZAH ZAINUDIN
Gerakan ‘reset’ dipelopori Hamzah Zainudin dikatakan sangat kuat dibandingkan Bersatu sendiri, menurut penganalisis.
PETALING JAYA:
Gerakan ‘reset’ dipercayai antara sebab penting yang merintangi penghijrahan ahli dan bekas ahli Bersatu ke Umno, yang membuka pintu kepada kepulangan mereka tanpa sebarang syarat.

Penganalisis menolak anggapan bahawa tawaran Umno tidak menarik, sebaliknya gerakan ‘reset’ dipelopori bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, kelihatan lebih kuat, dengan sokongan 19 Ahli Parlimen.

“Gerakan ‘reset’ ini satu gerakan yang sangat kuat dibandingkan Bersatu sendiri. Bersatu sebenarnya hanya tinggal enam saja Ahli Parlimen sekarang. Malah lebih 100 ketua bahagian menyokong Hamzah,” kata Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia kepada FMT.

“Secara tidak langsung gerakan ‘reset’ ini menjadi satu gerakan yang kuat dan malah dikatakan mendapat sokongan PAS,” tambahnya, mengulas pelawaan Umno kepada ahli Bersatu susulan tindakan terbaharu baru-baru ini.

Lembaga disiplin Bersatu memecat keahlian dua Adun, dan menggantung lima Ahli Parlimen dan dua Adun, kelmarin, atas alasan melanggar perlembagaan parti dan kod etika dan tatakelakuan.

Adun dipecat adalah Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang). Turut dipecat Ketua Bersatu Hulu Langat Faiz Rahmad. Ahli Parlimen digantung adalah Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), dan Khalib Abdullah (Rompin). Dua Adun digantung adalah Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh) dan Ahmad Man (Kuala Sepetang).

Menepati jangkaan penganalisis, Abdul Razak menolak pelawaan Umno dan memberi bayangan akan menyertai ‘rumah politik baharu’ yang dikaitkan dengan Hamzah.

Sebelum ini, dalam apa yang dikatakan pusingan pertama ‘pembersihan’ susulan kemelut dalaman, Bersatu memecat Hamzah serta 16 pemimpin lain, termasuk tiga Ahli Parlimen Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Azahari Hasan (Padang Rengas), dan Fathul Huzir Ayob (Gerik); serta dua Adun iaitu Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) dan Dr Yadzil Yaakub (Bemban).

“Mereka melihat ada satu platform dan perjuangan yang perlu mereka teruskan bersama Hamzah. Itu puncanya,” kata Mazlan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan soal kerusi pilihan raya termasuk dalam congakan. “Gerakan ‘reset’ akan tuntut kerusi-kerusi yang sebelum ini Bersatu bertanding.”

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting menarik perhatian kepada reputasi Umno yang tercalar kerana bersama DAP dalam kerajaan perpaduan.

“Selagi Umno kekal dalam kerangka ini, bekas pemimpin Bersatu sukar meyakinkan akar umbi bahawa mereka kembali ke wadah perjuangan Islam-Melayu yang konsisten,” katanya.

Beliau menambah terdapat persepsi bahawa pendokong-pendokong gerakan ‘reset’ mempunyai hubungan lebih baik dengan PAS.

“Ini menjadikan gerakan ‘reset’ lebih menarik kepada mereka yang mahu kekal relevan tanpa kompromi politik bersama DAP,” katanya.

Ahmad juga percaya kecenderungan pengundi Melayu yang dikatakan masih bersama Perikatan Nasional (PN) turut menjadi faktor.

“Data pilihan raya menunjukkan majoriti undi Melayu kekal bersama PN, yang konsisten membawa naratif blok Melayu-Islam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.