
Johari Abdul Ghani berkata demikian susulan laporan Wall Street Journal (WSJ) bahawa Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, sedang memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Pasukan petugas 1MDB yang diketuai Johari ditubuhkan bagi mendapatkan semula dana dan aset berkaitan 1MDB di seluruh dunia.
Menurut Johari, permohonan Low itu sepatutnya ditolak dan Amerika Syarikat sebaliknya perlu membantu Malaysia mengesannya untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Setakat yang saya tahu, saya tidak bersetuju beliau diberi pengampunan,” kata Johari yang juga menteri pelaburan, perdagangan & industri dalam mesej teks ketika diminta mengulas laporan WSJ itu.
Johari turut berkata beliau tidak mengetahui sebarang rundingan antara Low dan Malaysia berhubung pemulangan aset.
Low berdepan pelbagai pertuduhan, termasuk rasuah dan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat dan Malaysia, atas dakwaan peranan pentingnya dalam penyelewengan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion daripada 1MDB.
Beliau secara konsisten menafikan sebarang salah laku, manakala keberadaannya masih tidak diketahui.
Menurut laporan WSJ pada Selasa, yang memetik sumber yang mengetahui perkara itu, Low baru-baru ini memfailkan permohonan pengampunan. Jika diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah terhadapnya di Amerika Syarikat.
Laporan itu turut memetik seorang pegawai White House sebagai berkata permohonan Low ketika ini belum menjadi perhatian.
Laman web Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menyenaraikan satu permohonan “pengampunan selepas tamat hukuman” atas nama Taek Jho Low, yang difailkan tahun ini.
WSJ juga melaporkan bahawa Malaysia sebelum ini menggantung sementara notis merah Interpol terhadap Low, yang lazimnya membolehkan beliau ditahan hampir di mana-mana negara, bagi memudahkan pemulangan sejumlah besar aset kepada Malaysia.
Pada 2019, Amerika Syarikat mencapai penyelesaian untuk mendapatkan semula kira-kira AS$1 bilion daripada Low. Dalam penyelesaian itu, ahli perniagaan buruan berkenaan bersetuju menyerahkan jet peribadi serta hartanah mewah di Beverly Hills, New York dan London, selain aset lain.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2023 berkata kerajaan sedang berunding dengan beberapa negara bagi mempercepatkan usaha membawa pulang Low, namun beliau enggan menamakan negara terbabit.
Pihak berkuasa sebelum ini berkata Low dipercayai berada di China, tetapi Beijing menafikannya.