Kerajaan timbang insentif trak EV demi kurang kos subsidi diesel

Kerajaan timbang insentif trak EV demi kurang kos subsidi diesel

Menteri pengangkutan berkata harga trak EV dua hingga tiga kali ganda lebih mahal daripada trak diesel, menyukarkan pengusaha membuat peralihan secara menyeluruh.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook meninjau pameran selepas merasmikan Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia di Serdang. (Gambar Bernama)
SERDANG:
Kerajaan sedang meneliti pemberian insentif, termasuk pengecualian cukai bagi menggalakkan syarikat pengangkutan menggunakan trak elektrik (EV) sebagai sebahagian usaha jangka panjang mengurangkan kos subsidi diesel.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata harga trak EV dua hingga tiga kali ganda lebih mahal daripada trak diesel, menyukarkan pengusaha membuat peralihan secara menyeluruh.

“Kerajaan sedang berbincang, melihat insentif dari segi cukai bagi membantu merendahkan kos pembelian trak EV.

“Berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan, jumlah trak EV di Malaysia sekarang tidak sampai 10 unit dan kebanyakannya digunakan untuk tujuan percubaan oleh syarikat pengangkutan,” katanya selepas merasmikan Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines.

Beliau berkata, peralihan kepada kenderaan elektrik penting bagi mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, selain mengurangkan kebergantungan kepada diesel subsidi.

Jelasnya, kerajaan ketika ini membelanjakan kira-kira RM2.5 bilion sebulan bagi subsidi diesel, yang memberi tekanan besar kepada kedudukan fiskal negara.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan meneliti pelbagai bentuk sokongan lain, termasuk pembangunan infrastruktur pengecasan serta kemudahan sokongan bagi mempercepatkan peralihan industri pengangkutan kepada kenderaan EV.

Tegasnya, aspek keselamatan jalan raya tidak akan dikompromi ketika industri pengangkutan terus berkembang, dengan menggesa penggunaan teknologi seperti sistem telematik bagi memantau tingkah laku pemandu dan meningkatkan kecekapan operasi syarikat.

“Keselamatan dan keuntungan mesti bergerak seiring. Kerajaan akan terus memperkenalkan langkah dan peraturan bagi mengurangkan kemalangan serta membentuk budaya keselamatan dalam industri pengangkutan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.