
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarbangsa Malaysia (UIAM) berkata perdebatan dicetuskan setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS itu diakui hebat di media sosial tetapi kesannya mungkin tidak terlalu dirasai penyokong parti itu.
“Penyokong PAS akan terus menyokong parti itu, malah mungkin memuji tindakan Dewan Ulama yang tampil menegur,” katanya merujuk teguran badan itu terhadap kesilapan dibuat Zawawi.
Zawawi turut memohon maaf susulan kontroversi berkait kenyataannya mengenai latar kehidupan beberapa sahabat Nabi sebelum kedatangan Islam selain mengakui ‘kurang cermat’ dalam mengolah maklumat.

Namun Syaza melihat penjelasan Zawawi itu lebih bersifat usaha meredakan ketegangan dalaman selepas teguran Dewan Ulama PAS, berbanding satu bentuk ‘damage control’ menyeluruh terhadap imej parti.
“Ia lebih kepada usaha merapatkan semula jurang dalam parti dengan mengucapkan terima kasih atas teguran yang diberikan.
“Bukannya penarikan balik terhadap kenyataan asal itu,” katanya kepada FMT.
Kontroversi itu tercetus selepas sedutan ceramah Nik Zawawi di Kuala Terengganu tular, apabila beliau dikatakan membuat kenyataan tidak tepat mengenai latar kehidupan beberapa sahabat Nabi sebelum Islam.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berkata isu berkenaan boleh memberi kesan kepada imej PAS kerana parti itu sering menampilkan diri sebagai wadah perjuangan Islam dan dipimpin golongan ulama.
Menurutnya, tindakan Zawawi yang ‘memaafkan’ orang mengkritiknya sebelum memohon maaf telah memberi kesan besar.
“Seolah-olah beliau tidak mengakui kesalahan itu.
“Sepatutnya sejak awal beliau mohon maaf secara terbuka, tiada hujah boleh membantunya,” katanya.