Speaker maklum kepada SPR kerusi Rafizi, Nik Nazmi kosong

Speaker maklum kepada SPR kerusi Rafizi, Nik Nazmi kosong

Speaker Johari Abdul terima notis daripada Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung peletakan jawatan sebagai ahli Dewan Rakyat.

dewan rakyat
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa, susulan notis daripada wakil rakyat masing-masing.

Johari Abdul berkata beliau menerima notis daripada Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung peletakan jawatan mereka sebagai ahli Dewan Rakyat, berkuat kuasa 18 Mei.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan kepada SPR mengenai kekosongan luar jangka kerusi Pandan dan Setiawangsa, selaras Perkara 54(1) Perlembagaan.

“Sebarang keputusan berkaitan pelaksanaan PRK bagi kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa adalah tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan SPR,” menurut kenyataan.

Sementara itu, PKR memaklumkan bahawa ia juga telah menyerahkan notis kepada Johari berkenaan penamatan keanggotaan Rafizi dan Nik Nazmi, susulan pengisytiharan keluar parti pada 17 Mei.

PKR berpendirian bahawa tindakan meninggalkan parti melalui pengisytiharan itu menyebabkan perkara 9.1(c) perlembagaan parti adalah terpakai, kata Setiausaha Agung Fuziah Salleh.

“PKR juga berpendirian bahawa tindakan tersebut mempunyai kesan langsung di bawah Perkara 49A (1)(a)(ii) Perlembagaan,” menurut kenyataan.

Ahad lalu, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada PKR selain mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa, serta mengambil alih Parti Bersama Malaysia.

Mereka mendakwa tindakan itu tidak bertentangan dengan Akta Anti Lompat Parti atau terikat dengan bon parti bernilai RM10 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.