428 aktivis GSF termasuk 29 rakyat Malaysia dibebaskan

428 aktivis GSF termasuk 29 rakyat Malaysia dibebaskan

Semua aktivis rakyat Malaysia itu bakal diterbangkan ke Turki sebelum dijangka pulang ke tanah air Ahad ini.

Global Sumud Flotilla EPA Images pic 30426
Sumud Nusantara Command Centre sebelum ini mengesahkan semua 50 kapal GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis kemanusiaan termasuk 29 rakyat Malaysia dipintas tentera Israel di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza. (Gambar EPA Images)
SEPANG:
Semua 428 aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa kini dibebaskan dan dijangka pulang ke tanah air Ahad ini.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Sani Araby Abdul Alim Araby berkata SNCC dimaklumkan pihak Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menghantar tiga pesawat Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon di Israel.

Beliau berkata SNCC mengesahkan laporan terkini bahawa semua 428 aktivis flotilla kini sedang dipindahkan menaiki bas menuju ke Lapangan Terbang Ramon dan dijangka sampai ke Istanbul menggunakan tiga penerbangan tajaan khas kerajaan Turki.

“Ketiga-tiga penerbangan khas Turkish Airlines itu dijangka berlepas dari Israel sekitar 8 malam waktu Malaysia.

“Penerbangan ini dijangka tiba pada 10 malam waktu Malaysia dan akan disambut oleh pihak kedutaan Malaysia di Turki serta Wisma Putra serta kerajaan Turki,” katanya pada sidang media.

Sani Araby berkata delegasi Malaysia dijangka melalui fasa pemeriksaan kesihatan di hospital Turki bagi mendapatkan laporan perubatan berikutan maklumat bahawa ada tahanan yang dipukul serta mengalami kecederaan.

Beliau berkata SNCC menjangkakan delegasi Malaysia akan terbang dan pulang ke tanah air pada 23 Mei dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 24 Mei.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan komitmen berterusan perdana menteri, Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang membantu pembebasan 29 rakyat Malaysia.

“Ia termasuk usaha menggembleng saluran diplomatik antarabangsa secara strategik dan berkesan bagi melaksanakan rundingan serta memastikan proses membawa keluar kesemua 29 rakyat Malaysia dapat diatur dengan selamat,” katanya.

Sani Araby berkata SNCC menegaskan insiden penculikan aktivis kemanusiaan telah mencetuskan kemarahan dan kecaman antarabangsa yang dizahirkan dalam bentuk penyataan negara, saman serta aksi demonstrasi.

Semalam, SNCC mengesahkan semua 50 kapal GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis kemanusiaan termasuk 29 rakyat Malaysia daripada 40 negara dipintas tentera laut rejim Zionis di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.