
Perkara itu dimaklumkan kepada Mahkamah Tinggi hari ini oleh Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan yang mewakili peguam negara.
Peguam negara sebagai penjaga kepentingan awam, boleh menyokong atau membantah permohonan sedemikian atas alasan ia bersifat remeh.
Hakim Alice Loke menetapkan 30 Jun ini untuk memutuskan sama ada permohonan kebenaran Badan Peguam itu akan didengar atau ditangguhkan, sementara menunggu perkara berkaitan selesai di Mahkamah Persekutuan.
Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan Badan Peguam mencabar keputusan peguam negara yang memutuskan Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan dalam kes Yayasan Akalbudi.
Nurhafizza berkata, peguam negara akan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu perkara itu di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Saya menerima arahan untuk meneruskan permohonan kebenaran semakan kehakiman, tetapi bukan hari ini,” kata Nurhafizza yang dibantu Peguam Persekutuan, Imtiyaz Wizni Aufa Othman.
Peguam S Abhilaash yang mewakili Badan Peguam berkata, permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap NFA itu perlu diteruskan kerana keputusan Mahkamah Rayuan dibuat berdasarkan prinsip undang-undang.
Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman yang mewakili Zahid berkata, anak guamnya juga akan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan.
“Kami mempunyai masa sehingga 5 Jun untuk memfailkan permohonan itu di Mahkamah Persekutuan,” katanya yang dibantu Hamidi Noh.
Shahrul kemudian memohon prosiding ditangguhkan sehingga pihak-pihak kembali untuk memberikan perkembangan terkini berhubung status permohonan kebenaran mereka di mahkamah tertinggi.
Loke menetapkan 30 Jun ini untuk mendengar sama ada prosiding di depannya perlu diteruskan atau digantung.
Badan Peguam dalam permohonannya bulan lalu berkata, keputusan peguam negara menghentikan prosiding jenayah terhadap Zahid tidak rasional, tidak munasabah dan bercanggah kepentingan awam.
Ia memohon perisytiharan bahawa keputusan NFA itu terbatal dan tidak sah, serta dibuat melangkaui bidang kuasa peguam negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Dalam pemfailan mahkamah, Badan Peguam berkata, keputusan NFA bercanggah keputusan mahkamah perbicaraan pada 22 Jan 2022 yang mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Zahid.
Pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi yang bertindak atas permohonan peguam negara, memberikan DNAA kepada Zahid atas semua 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah dalam kes itu.
Peguam negara memohon perintah itu supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh membuka semula siasatan berhubung kes berkenaan.
Pada Disember 2023, Badan Peguam memohon kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan peguam negara memberi DNAA kepada Zahid, dengan mendakwa ia tidak rasional dan tidak munasabah.
Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu pada Jun 2024.
Tetapi, Mahkamah Rayuan pada 7 Mei membenarkan rayuan Badan Peguam, dengan memutuskan kes itu perlu didengar berdasarkan merit.
Pada 28 Jan, Zahid memfailkan permohonan untuk mendapatkan pembebasan penuh selepas peguam negara memaklumkan kes itu diklasifikasikan NFA susulan kesimpulan SPRM bahawa tiada keterangan mencukupi untuk meneruskan perbicaraan.
Ini menyebabkan Badan Peguam memfailkan satu lagi permohonan semakan kehakiman bulan lalu.