
Dalam hantaran di Facebook, Iskandar berkata walaupun kumpulan-kumpulan itu perlu berkerja ke arah matlamat yang satu, usaha menyatukan mereka bakal berdepan tentangan.
“Kerjasama mereka akan cuba digagalkan,” katanya.
Kenyataan Iskandar dibuat ketika perhatian semakin tertumpu kepada Reset, sebuah gerakan yang dipelopori bekas timbalan presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin, selepas beliau dipecat daripada parti itu pada Februari lalu.
Pada Selasa, Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata gerakan itu bertujuan menjadi jambatan yang menghubungkan parti politik dengan masyarakat sivil, golongan profesional dan ahli akademik.
Saifuddin berkata Reset adalah gerakan melaksanakan Konsensus Nasional Baharu demi mencapai Malaysia yang diidamkan, merangkumi pembaharuan politik, ekonomi, pendidikan, institusi, keselamatan, hubungan antarabangsa dan perkhidmatan awam.
Hamzah melancarkan Reset sejurus selepas dipecat daripada Bersatu pada 14 Feb susulan krisis kepimpinan dengan presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Beberapa lagi bekas pemimpin Bersatu, termasuk Saifuddin, Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, turut menyertai gerakan itu.
Reset juga dipercayai mendapat sokongan beberapa pemimpin Bersatu yang masih berada dalam parti, termasuk naib presiden yang kini digantung, Ronald Kiandee, dan Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin.