Bersama: PH akan terkesan, BN diseru fokus

Bersama: PH akan terkesan, BN diseru fokus

Pengarah komunikasi Pemuda BN kata kehadiran Bersama mengesahkan BN perlu fokus pada pengukuhan dan persiapan pilihan raya.

Bersama sedikit sebanyak berpotensi memberi kesan kepada PH kerana kumpulan sasaran pengundi mereka dilihat lebih hampir serta bertindih, kata pemimpin BN.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Barisan Nasional (BN) percaya parti baharu Rafizi Ramli berpotensi memberi kesan pada rakan gabungannya ketika ini, Pakatan Harapan (PH), pada pilihan raya akan datang.

Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong, berkata kehadiran Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengesahkan bahawa BN perlu fokus pada pengukuhan dan persiapan pilihan raya.

Semalam, pemimpin baharu Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan partinya akan bertanding di kerusi PH, BN, dan Perikatan Nasional (PN).

“BN perlu kekal fokus terhadap persiapan dan pengukuhan kekuatan sendiri menjelang beberapa PRN dan PRU yang boleh berlangsung pada bila-bila masa,” kata Neow kepada FMT.

BN dan PH ketika ini membentuk kerajaan gabungan di peringkat persekutuan, berbeza dengan situasi di Johor, yang sedang bersiap sedia untuk pilihan raya.

Menjelang PRN akan datang, yang mana BN dan PH dijangka akan bertembung, Pengerusi Jawatankuasa Sementara Bersama Johor, Abd Hamid Ali, hari ini dilaporkan berkata partinya sedia bertanding di semua 56 kerusi.

“Saya melihat kehadiran Bersama sedikit sebanyak berpotensi memberi kesan kepada PH kerana kumpulan sasaran pengundi mereka dilihat lebih hampir serta bertindih dengan segmen sokongan PH sendiri,” kata Neow.

Di sebalik seruan agar BN tidak terlalu yakin susulan kemunculan Bersama, seorang pemimpin Umno percaya parti baharu itu akan menerima nasib Pejuang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Shaik Hussein Mydin, mengulas pengumuman Nik Nazmi bahawa Bersama tidak akan menyertai PH, BN atau PN.

“Parti mereka akan hilang deposit seperti Pejuang yang hilang deposit setelah meninggalkan Bersatu walau diterajui oleh Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada FMT.

Hussein mendakwa pengundi melihat Rafizi dan Nik Nazmi sebagai ahli politik yang “pandai berkata-kata retorik dan gagal setelah diberi peluang”.

“Kini cuba menyalahkan pulak kerajaan yang mereka sendiri tubuhkan sebelum ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.