
Beliau berkata, ketika ini, wujud segelintir pihak memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
“Sekarang ini, yang bising, marah, panaskan orang, berhimpun, tanam kebencian, buat fitnah dan takutkan orang ini itu adalah golongan minoriti.
“Saya percaya majoriti rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain mahukan negara yang aman, stabil dan berjaya,” katanya ketika berucap pada Wacana Harmoni Madani sempena sambutan Hari Wesak anjuran Majlis Perundingan Buddha Malaysia.
Turut hadir Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.
Anwar menyeru rakyat menolak politik kebencian dan perpecahan demi memastikan negara terus aman, maju serta dihormati dunia.
Tegasnya, tiba masa golongan majoriti yang cintakan keamanan dan keharmonian tampil bersuara mempertahankan nilai kemanusiaan, kasih sayang serta perpaduan antara kaum dan agama.
Menurutnya, Malaysia sejak awal penubuhannya dibina atas asas kepelbagaian kaum dan agama, justeru prinsip saling menghormati perlu terus diperkukuhkan.
“Cukuplah politik kebencian dan perpecahan. Sudah sampai masanya rakyat Malaysia menentukan arah negara ini dengan hati nurani, kasih sayang dan semangat hormat sesama manusia.”
Katanya, konsep Malaysia Madani bukan sekadar menumpukan pembangunan ekonomi, teknologi digital dan kecerdasan buatan, sebaliknya turut memberi penekanan terhadap nilai, etika dan moral berpaksikan ajaran agama.
Beliau turut mengingatkan agama tidak pernah mengajar kebencian, sebaliknya menyeru manusia mengamalkan sifat rahmah, belas kasihan dan keamanan.
“Kita mahu pembangunan, inovasi dan teknologi, tetapi dalam masa sama, kita mesti kekal manusiawi dengan nilai belas ihsan, hormat dan kasih sayang.
“Dalam Islam misalnya, kita diajar tentang rahmah dan kasih sayang. Tetapi, malangnya hari ini yang sering ditonjolkan ialah kebencian dan permusuhan.”
Beliau memberi jaminan kerajaan akan terus menyokong sambutan Hari Wesak dan program keharmonian antara agama demi memperkukuhkan perpaduan negara.
“Saya yakin Malaysia akan terus berjaya jika rakyat memilih jalan damai, hormat dan kasih sayang.”