Sabah rangka Pelan Induk Hutan 25 tahun

Sabah rangka Pelan Induk Hutan 25 tahun

Kerajaan Sabah akan memastikan semua Kawasan Ekologi Sensitif tetap dilindungi tanpa abai pembangunan sosioekonomi mampan untuk kesejahteraan rakyat.

hajiji noor
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor berkata kerajaannya sentiasa komited mengekalkan 50% kawasan litupan hutan negeri, sejajar Dasar Hutan Sabah 2018.
PETALING JAYA:
Sabah sedang merangka Pelan Induk Hutan sebagai garis panduan pengurusan sumber hutan negeri itu bagi tempoh 25 tahun akan datang, kata Ketua Menterinya, Hajiji Noor.

Menurutnya, inisiatif yang dilaksanakan menerusi Jabatan Perhutanan Sabah itu selari aspirasi kerajaan negeri melaksanakan rasionalisasi guna tanah demi keseimbangan pembangunan sosioekonomi dan konservasi alam sekitar.

“Dengan tersedianya Pelan Induk Hutan ini kelak, kerajaan Sabah akan memastikan semua Kawasan Ekologi Sensitif tetap dilindungi tanpa mengabaikan pembangunan sosioekonomi mampan untuk kesejahteraan rakyat Sabah.

“Perkara ini seiring pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui Pelan Pembangunan SMJ 2.0 yang antaranya menetapkan keperluan pembangunan jaringan infrastruktur dan pembangunan hijau,” katanya menurut Harian Metro pada Majlis Perasmian Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran Sook, Keningau.

Beliau berkata, kerajaan Sabah sentiasa komited mengekalkan 50% kawasan litupan hutan negeri, sejajar Dasar Hutan Sabah 2018.

Ketika ini, katanya, Sabah masih mengekalkan 63% kawasan litupan hutan negeri yang meliputi 3.85 juta hektar tanah diwartakan sebagai kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan lain.

Jelasnya, sebagai manifestasi terhadap keseimbangan pembangunan sosioekonomi dan perlindungan sumber asli, kerajaan negeri dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Fasiliti Alam Sekitar Antarabangsa akan mempelopori pelaksanaan Program Kesan Sistem Penghasilan Makanan, Guna Tanah dan Restorasi yang meliputi kawasan seluas 2.1 juta hektar.

“Ia akan menyelaras perancangan dan pengurusan guna tanah di Sabah bagi membendung kesan penghasilan minyak sawit, di samping mengekalkan kawasan konservasi hutan bernilai tinggi untuk faedah alam sekitar dan pembangunan,” katanya yang turut menyampaikan 1,136 geran tanah anak negeri bagi Parlimen Pensiangan dengan keluasan 2,303.84 hektar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.