2 maut dalam nahas motosikal, kereta di Kuala Kubu Bharu

2 maut dalam nahas motosikal, kereta di Kuala Kubu Bharu

Bomba berkata mangsa yang maut adalah penunggang motosikal berusia 28 tahun dan pembonceng berusia 14 tahun.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata seorang wanita yang juga pemandu kereta cedera selepas tersepit dalam kenderaan dinaikinya. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Penunggang dan pembonceng motosikal maut dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Ampang Pecah-Rasa di Kuala Kubu Bharu pada awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.14 tengah malam berhubung kemalangan membabitkan motosikal dinaiki dua lelaki dan sebuah kereta tersebut dinaiki seorang lelaki serta wanita.

Katanya, dalam kejadian itu mangsa yang maut adalah penunggang motosikal berusia 28 tahun dan pembonceng berusia 14 tahun.

Menurutnya, enam anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja dan sebuah motosikal.

“Terdapat tiga mangsa terlibat terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, dua mangsa lelaki yang menaiki motosikal disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian.

“Seorang wanita yang juga pemandu kereta berusia 51 tahun mengalami kecederaan.

“Pihak bomba menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.