Pemilik kereta perlu bayar RM5 guna jalan Genting Highlands mulai Khamis

Pemilik kereta perlu bayar RM5 guna jalan Genting Highlands mulai Khamis

Bagi penduduk tetap berdaftar, skim pas bermusim 6 bulan akan diperkenalkan.

genting malaysia cable car
Kenderaan kecemasan, motosikal serta kenderaan persendirian penjawat awam yang bertugas di institusi kerajaan terpilih akan dikecualikan daripada caj jalan masuk Genting Highlands.
PETALING JAYA:
Pemilik kenderaan akan mula dikenakan caj jalan ketika memasuki Jalan Genting Highlands bermula Khamis ini.

Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB) selaku operator sah rangkaian jalan Genting Highlands berkata, kutipan akan dibuat di laluan masuk Genting Highlands di Genting Sempah serta laluan masuk Gohtong Jaya di bulatan Gohtong Jaya, lapor Bernama.

Kereta atau van Kelas 1 akan dikenakan caj RM5 di kedua-dua lokasi berkenaan.

Lori sederhana (Kelas 2) akan dicaj RM15 manakala lori berat (Kelas 3) dikenakan bayaran RM25 di kedua-dua laluan masuk.

Teksi (Kelas 4) akan dicaj RM3.30, sementara bas (Kelas 5) pula perlu membayar RM5.

Bagi kenderaan Kelas 2, 3, 4 dan 5, mereka dikehendaki menggunakan ‘Lorong Khas’ atau lorong pengecaman plat lesen (LPR) untuk masuk.

Sementara itu, kenderaan kecemasan, motosikal serta kenderaan persendirian penjawat awam yang bertugas di institusi kerajaan terpilih di Genting Highlands dikecualikan daripada caj, menurut LCSB.

Bermula 28 Jun, LCSB akan mendaftarkan sehingga dua kenderaan Kelas 1 (kenderaan berdaftar) untuk penduduk tetap Genting Highlands yang layak, di mana mereka akan menikmati kadar istimewa 10% lebih rendah berbanding kadar biasa bagi setiap kemasukan menerusi lorong LPR atau ‘Lorong Khas’.

“Kenderaan berdaftar tidak akan dikenakan sebarang caj sebelum 28 Jun 2026,” katanya.

Sebagai tambahan, LCSB akan memperkenalkan skim pas bermusim untuk tempoh enam bulan bagi penduduk tetap yang berdaftar.

Pas bermusim ini memberi pemegangnya keistimewaan kemasukan tanpa had ke Jalan Genting Highlands sepanjang tempoh sah lakunya melalui lorong LPR atau ‘Lorong Khas’, menawarkan penjimatan kos yang besar.

“Penduduk tetap yang berminat boleh mendapatkan pas bermusim dengan mengemukakan permohonan dan membuat pembayaran diperlukan,” tambahnya.

Sebelum ini dilaporkan, syarikat terbabit mengenakan caj itu bagi menampung kos penyelenggaraan jalan persendirian sejauh 24km tersebut yang kian meningkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.