Adakah MCA sokong PN lagi jika PRU16 Parlimen tergantung, soal Liew

Adakah MCA sokong PN lagi jika PRU16 Parlimen tergantung, soal Liew

Pengarah strategik DAP menggesa Presiden MCA Wee Ka Siong bersikap jujur agar pengundi tahu pendirian sebenar komponen BN itu.

Pengarah Strategik DAP Liew Chin Tong berkata Presiden MCA Wee Ka Siong menyokong pengerusi PN ketika itu, Muhyiddin Yassin, untuk membentuk kerajaan selepas keputusan PRU15 menyebabkan Parlimen tergantung.
PETALING JAYA:
Pengarah strategik DAP Liew Chin Tong mempersoalkan sama ada MCA akan menyokong Perikatan Nasional (PN) jika keputusan PRU16 menyebabkan Parlimen tergantung, seperti yang berlaku pada 2022.

Liew berkata presiden MCA, Wee Ka Siong, telah menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menyokong pengerusi PN ketika itu, Muhyiddin Yassin, membentuk kerajaan selepas PRU15.

Beliau juga berkata Wee merupakan antara penyokong kuat cadangan supaya Barisan Nasional (BN) bertanding secara solo dalam PRU16, yang berpotensi mewujudkan pertandingan tiga penjuru dengan PN dan sekutu semasa mereka, Pakatan Harapan (PH).

“Ini kerana beliau percaya pertandingan tiga penjuru akan membolehkan MCA bertanding di lebih banyak kerusi, bukan sekadar terhad kepada dua kerusi penyandangnya.

“Memandangkan presiden MCA memilih untuk membangkitkan isu ini, dan antara penyokong paling kuat pertandingan tiga penjuru, beliau perlu menjelaskan sama ada akan menyokong PN yang kini diterajui PAS untuk membentuk kerajaan sekiranya situasi politik 2022 berulang.

“Sekurang-kurangnya dengan bersikap jujur, pengundi boleh mengetahui pendirian sebenar MCA,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu dalam satu hantaran Facebook.

Liew mengulas laporan media yang memetik Wee mempertahankan keputusan MCA menyokong PN selepas PRU15, yang berakhir tanpa mana-mana parti memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Wee, bekas menteri, berkata beliau menandatangani akuan tersebut kerana situasi politik ketika itu ‘kacau-bilau’, selain pendirian awal Umno yang menolak kerjasama dengan pengerusi PH, Anwar Ibrahim, atau DAP.

PRU15 berakhir dengan PH memenangi 82 kerusi, diikuti PN (74), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23) dan Gabungan Rakyat Sabah (enam). Majoriti mudah sebanyak 112 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan.

MCA memenangi dua kerusi, termasuk Ayer Hitam yang kini diwakili Wee untuk penggal kelima.

Walaupun MCA serta beberapa ahli Parlimen BN lain telah menandatangani akuan menyokong PN, pengerusi BN Zahid Hamidi, akhirnya memutuskan gabungan itu akan menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama GPS dan GRS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.