
Dasar baharu itu, yang turut terpakai kepada warga Indonesia yang layak, membolehkan pelancong memohon kebenaran perjalanan elektronik (eTA) berbanding visa pelawat tradisional apabila melakukan perjalanan atau transit ke Kanada melalui udara.
Menteri Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada Lena Metlege Diab pada Isnin berkata, perubahan itu akan berkuat kuasa bermula 26 Mei.
Di bawah syarat baharu itu, rakyat Malaysia dan Indonesia yang pernah memegang visa pemastautin sementara Kanada dalam tempoh 10 tahun lepas, atau yang kini memiliki visa bukan imigran Amerika Syarikat (AS) yang sah, mungkin layak memohon eTA menggantikan visa bagi perjalanan udara atau transit melalui Kanada.
Mereka yang masih memiliki TRV yang sah boleh terus menggunakannya untuk ke Kanada, manakala pelancong boleh menyemak portal rasmi imigresen Kanada bagi mendapatkan maklumat kelayakan dan prosedur permohonan.
Diab berkata, langkah itu adalah sebahagian usaha lebih luas Kanada untuk memperkukuh penglibatan di rantau Indo-Pasifik menerusi sokongan terhadap perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi.
“Kanada sedang berusaha menarik bakat terbaik dunia, memperkukuh perkongsian global dan mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan serta pekerja Kanada,” katanya.
Aplikasi eTA digunakan oleh pihak berkuasa Kanada untuk menjalankan saringan pra-perjalanan terhadap penumpang udara.
Maklumat lanjut mengenai kelayakan dan permohonan boleh didapati menerusi portal rasmi imigresen Kerajaan Kanada .
Menurut Imigresen, Pelarian dan Kewarganegaraan Kanada, Malaysia merupakan antara rakan dagang dua hala terbesar Kanada di Asia Tenggara.
Sejak 2020, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat 60%, daripada USD3.8 bilion pada 2020 kepada USD6.1 bilion pada 2025.
Tahun lepas, Kanada menerima kira-kira 11,500 pelawat dari Malaysia.