
Nahas berlaku sekitar 3 pagi itu meragut nyawa Syah Lokman Ludza Ramli, 50, berpangkat inspektor dari IPD Kuantan dan isteri, Nurulfiza Ardiana Amba, 46.
Pasangan berkenaan bersama empat anak mereka berusia 10, 13, 15, dan 18 tahun dalam perjalanan pulang beraya ke Jempol, Negeri Sembilan.
Empat anak mereka cedera, manakala seorang lagi, Muhammad Afiq, 20, sudah berada di kampung menunggu kepulangan mereka.
Afiq yang juga pelajar Kolej Vokasional Pertanian Chenor, berkata dia menerima berita mengenai nahas itu pada 4 pagi selepas dikejutkan bapa saudaranya yang memaklumkan ibu dan bapanya sudah tiada.
“Memang terkejut sebab saya tidak tahu papa balik kampung malam tadi (kelmarin). Saya ingat mereka bertolak awal pagi,” katanya kepada Kosmo.
Dua adiknya iaitu Muhammad Adib, 18, dan Muhammad Akif, 10, dirawat di Hospital Muadzam Shah, manakala Nur Arissa Safiya, 15, dan Muhammad Aqil, 13, cedera ringan.
Awal hari ini, Ketua Polis Pekan Mohd Zaidi Mat Zin, dilaporkan berkata nahas berlaku apabila Proton Wira dinaiki arwah dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Honda City.