Cuba seludup 250 haiwan liar ke India, warga Malaysia ditahan di Bangkok

Cuba seludup 250 haiwan liar ke India, warga Malaysia ditahan di Bangkok

Dua ekor enggang gading, 62 ekor iguana, 100 ekor mengkarung berlidah biru dan 80 ekor penyu air tawar antara haiwan liar yang disembunyikan dalam sebuah beg beroda.

Lelaki berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira 3.45 pagi di terminal pelepasan antarabangsa Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok. (Gambar EPA Images)
BANGKOK:
Seorang warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kerana disyaki cuba menyeludup lebih 250 haiwan liar hidup ke India.

Dalam operasi bersama Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan serta beberapa agensi penguatkuasaan pada 24 Mei lalu, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira 3.45 pagi berhampiran pintu F3 Zon 3 terminal pelepasan antarabangsa lapangan terbang berkenaan.

Menurut pihak berkuasa Thailand, suspek dijadualkan menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok ke Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subhas Chandra Bose di Kolkata, India.

“Hasil pemeriksaan bagasi daftar masuknya menemui haiwan hidup yang disembunyikan dalam sebuah beg beroda, termasuk dua ekor enggang gading, dua ekor ‘Patagonia mara’, 62 ekor iguana, lima ekor biawak, 100 ekor mengkarung berlidah biru dan 80 ekor penyu air tawar,” kata pihak berkuasa Thailand dalam kenyataan.

Menurutnya, suspek didakwa mengikut Akta Pemeliharaan dan Perlindungan Hidupan Liar 2019, Akta Kastam 2017, Akta Wabak Haiwan 2015 dan Ordinan Diraja Perikanan 2015.

Dia kemudian diserahkan kepada penyiasat di Balai Polis Lapangan Terbang Suvarnabhumi untuk tindakan undang-undang lanjut.

Kebanyakan haiwan yang masih hidup itu diserahkan kepada pihak berkuasa hidupan liar dan perikanan untuk penjagaan, pengenalpastian spesies serta dijadikan bahan bukti dalam siasatan.

Pihak berkuasa turut memperluaskan siasatan bagi mengenal pasti individu lain mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.