
Beliau yang juga menteri komunikasi berkata, perkara itu belum dibincangkan Jemaah Menteri, tetapi Putrajaya mengambil serius penemuan Suhakam.
“Kebiasaannya, laporan tahunan Suhakam akan dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan dan kita akan menelitinya.
“Kami mengambil serius penemuan Suhakam. Insya-Allah, kami akan meneliti perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya selepas Majlis Korban Perdana Lembah Pantai.
Lebih 100 tahanan di Penjara Taiping diserang kira-kira 60 warden ketika proses pemindahan dari Dewan B ke Blok E pada Januari 2025. Seorang tahanan, Gan Chin Eng, maut dalam insiden itu.
Seorang warden telah didakwa atas pertuduhan membunuh tanpa niat atas kematian Gan, tetapi Suhakam menyeru pertuduhan jenayah difailkan terhadap warden lain yang terbabit dalam serangan itu susulan inkuiri awamnya.
Ini mendorong Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo yang juga menteri digital, menuntut jawapan daripada ketua polis negara dan peguam negara berhubung insiden itu.
Terdahulu, Jabatan Penjara dilaporkan berkata, ia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan untuk meneliti laporan Suhakam berhubung insiden itu.