
Ketua Penerangannya, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata buat masa ini tiada perbincangan secara rasmi atau tidak partinya akan berkerjasama dengan PH.
“Tidak pernah dibincangkan dalam Biro Politik, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) atau mana-mana perbincangan tidak rasmi di dalam parti.
“Jika ada sebarang usaha ke arah itu, sudah tentu ada tanda-tanda atau bayangan gerakan atau operasi ke arah itu.
“Lagipun dahulu Bersatu adalah antara yang meruntuhkan kerajaan PH 22 bulan, menolak Anwar Ibrahim dari jadi perdana menteri dan yang menyingkirkan DAP dari kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tun Faisal turut menegaskan Bersatu tidak akan jadi seperti Umno yang menyokong Anwar menjadi perdana menteri.
“Mengangkat Anwar jadi perdana menteri dengan cara penipuan dan pengkhianatan undi pengundi-pengundi Barisan Nasional (BN).
“Umno dan DAP pun menjauhkan diri daripada PH kerana tak mahu dikaitkan dengan perdana menteri dan kerajaan yang gagal. Takkan Bersatu hendak bersama PH-BN,” katanya.
Spekulasi mengenai hubungan Bersatu dan PH timbul susulan ketegangan antara Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu mungkin bergerak solo pada PRU akan datang tanpa sekutunya.
Beliau memetik beberapa isu yang menjejaskan hubungan antara kedua-dua parti, termasuk pertukaran menteri besar Perlis dan bantahan Bersatu terhadap kemasukan parti-parti Melayu-Islam baharu ke dalam PN, sambil memberi amaran bahawa ‘kesabaran ada batasnya’.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook sebelum ini turut menafikan khabar angin mengenai kemungkinan Bersatu kembali menyertai PH.