Dakwaan Bersatu kekal ‘magnet’ pengundi untuk tutup kemerosotan

Dakwaan Bersatu kekal ‘magnet’ pengundi untuk tutup kemerosotan

Penganalisis Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata imej Bersatu semakin terhakis susulan krisis dalaman.

Perasmian Sayap-sayap BERSATU
James Chin berkata Bersatu kini berada dalam fasa kritikal dan sukar dipulihkan dalam tempoh terdekat.
PETALING JAYA:
Dakwaan Bersatu masih menjadi ‘magnet’ kepada pengundi disifatkan penganalisis sebagai sekadar penyedap hati bagi menutup kemerosotan sokongan parti itu selepas PRN 2023.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata imej Bersatu sebagai parti yang didakwa mampu menarik pengundi atas pagar, golongan profesional dan anak muda semakin terhakis susulan krisis dalaman serta tindakan disiplin terhadap pemimpin yang kritikal.

Menurutnya, ciri ‘magnet’ yang pernah dikaitkan dengan Bersatu sebenarnya lebih mencerminkan pemimpin berjiwa reformis seperti Saifuddin Abdullah, Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

“Muhyiddin Yassin dalam usia menjangkau 80-an sebenarnya tidak mampu berdepan landskap politik baharu yang dibawa kumpulan ini.

“Sebaliknya, beliau memilih pendekatan lama berasaskan politik naungan ala Umno lama,” kata penganalisis dari Universiti Sains Malaysia (USM) kepada FMT.

Ahmad Fauzi berkata kegagalan Bersatu menawarkan gagasan nasionalis yang progresif dan inklusif turut memberi kesan kepada hubungannya dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).

Beliau mengulas kenyataan Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris Selasa lalu bahawa parti itu masih memainkan peranan penting dalam PN kerana menjadi magnet mampu menarik sokongan pengundi atas pagar, golongan profesional dan anak muda.

Razali berkata kekuatan Bersatu itu melengkapi PAS yang mempunyai jentera akar umbi besar serta pengalaman luas dalam pilihan raya. Beliau turut menegaskan hubungan kedua-dua parti perlu diperkukuh jika PN mahu menawan Putrajaya pada PRU16.

Sementara itu, James Chin dari Universiti Tasmania berkata Bersatu kini berada dalam fasa kritikal dan sukar dipulihkan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata parti itu kesuntukan masa untuk membina semula sokongan pengundi Melayu yang sudah beralih arah, terutama sekiranya PRU diadakan dalam tempoh enam bulan.

Menurutnya, titik tolak ketidakstabilan Bersatu bermula beberapa tahun lalu apabila Muhyiddin menukar fikiran dalam tempoh 24 jam selepas mengumumkan hasrat untuk meletak jawatan presiden.

“Kehilangan momentum itu jelas kelihatan selepas PRN 2023,” katanya merujuk tindakan Muhyiddin membuat pusingan U pada 24 Nov 2023 untuk mempertahankan kedudukan presiden walaupun sehari sebelumnya mengumumkan sebaliknya.

Pada pemilihan Bersatu dua tahun lalu, Muhyiddin menang tanpa bertanding begitu juga Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin bagi jawatan timbalan presiden Bersatu.

Bagaimanapun, Hamzah bersama beberapa lagi pemimpin Bersatu dipecat antaranya Saifuddin, Wan Saiful dan Wan Fayhsal susulan krisis kepimpinan parti.

“Sekiranya Muhyiddin berundur ketika itu dan menyerahkan kepimpinan kepada generasi baharu, Bersatu mungkin mempunyai hala tuju lebih segar.

“Sekarang Bersatu berada dalam kedudukan yang sangat sukar,” kata Chin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.