
Persatuan Pekebun Sayur Melayu Cameron Highlands memaklumkan harga kubis naik daripada 60 sen kepada RM1.50 sekilogram, tomato daripada RM1 kepada RM3.50 sekilo, cili daripada RM4 kepada RM5 sekilo.
“Kenaikan ini disebabkan kos input seperti harga baja dan racun perosak dari luar negara,” kata Pengerusi Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid, lapor Berita Harian.
Menurutnya, harga minyak global meningkatkan kos pengangkutan bagi membawa masuk barang input berkenaan, lantaran konflik di Asia Barat.
Beliau memberikan contoh harga baja fertigasi, yang naik daripada RM7,000 hingga RM8,000 kepada RM25,000 hingga RM27,000 satu tan, kerana nutrien baja perlu diimport.
Syed Abd Rahman menjangkakan harga terus meningkat bagi tempoh dua minggu akan datang, sebelum stabil atau menurun, bergantung kepada pasaran dan langkah kawalan import oleh kerajaan.
Selain itu, pengeluaran sayur di Cameron Highlands turut terjejas akibat faktor cuaca tidak menentu, sebelum ini, namun cuaca sekarang sudah mula baik, katanya.