Perahu terbalik di Sarawak, lelaki dikhuatiri lemas

Perahu terbalik di Sarawak, lelaki dikhuatiri lemas

Gerald anak Lansam dipercayai dihanyutkan arus sungai kira-kira 1 tengah hari tadi.

Pasukan bomba dan polis bersama penduduk kampung melaksanakan pencarian di permukaan air menggunakan perahu di kawasan mangsa kali terakhir dilihat di Sungai Banting berhampiran Rumah Panjang Charang di Lingga. (Gambar BBP Sri Aman)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas perahu dinaiki sembilan individu terbalik akibat arus deras di Sungai Banting berhampiran Rumah Panjang Charang di Lingga, Sri Aman.

Gerald anak Lansam, 42, dipercayai dihanyutkan arus sungai kira-kira 1 tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak berkata, perahu yang mengalami kerosakan enjin itu hanyut dan terlanggar tiang jambatan, sebelum terbalik akibat arus deras menyebabkan semua penumpang terjatuh ke sungai.

Beliau berkata, lapan mangsa diselamatkan penduduk kampung sebaik menyedari kejadian itu.

“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan sempat berpaut pada tiang jambatan selepas perahu terbalik, sebelum dilihat tenggelam ketika usaha menyelamat dijalankan,” katanya menurut Harian Metro.

Menurutnya, pasukan bomba dan polis bersama penduduk kampung sedang melaksanakan pencarian di permukaan air menggunakan perahu di kawasan mangsa kali terakhir dilihat.

Ini tragedi kedua bot karam di Sarawak dalam tempoh tiga hari.

Kejadian pertama di Nanga Balang Gaat, Kapit pada 6.15 petang Ahad lalu menyebabkan seorang lelaki lemas selepas perahu dinaikinya bersama enam penumpang karam akibat terlanggar batu di tengah sungai.

Mayat Spielberg Dylan anak Sekunyir, 32, ditemui penduduk kampung pada 7.10 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.